Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menggesa kerajaan supaya menghalang penganjuran Ekspo Perdagangan Tembakau Antarabangsa selama dua hari di Kuala Lumpur mulai 14 November ini kerana ia bertentangan dengan kempen antimerokok yang dijalankan oleh kerajaan.

Naib Canselor USM Prof Datuk Dzulkifli Abdul Razak berkata ekspo berkenaan yang dianjurkan oleh Dr Kater Marketing GmbH dari Jerman, bertujuan menghebahkan mengenai penggunaan dan penjualan tembakau.

Menurut laporan Bernama , Prof Dzulkifli menyifatkan tindakan menganjurkan ekspo tersebut di negara ini sebagai sesuatu yang tidak bijak kerana kerajaan baru sahaja mengadakan kempen "Tak Nak" merokok.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum perjanjian di antara USM dan Majlis Kanser Nasional (Makna) di Kepala Batas, beliau berkata maklumat mengenai ekspo itu yang tersiar di lamanweb penganjur, www.etm2005.com, jelas menggalakkan penggunaan dan penjualan tembakau.

"Aktiviti ini songsang dengan apa yang kerajaan lakukan dan ia tidak sesuai diadakan di negara ini kerana penganjur bakal menjadikan Malaysia sebagai hub untuk aktiviti jualan tembakau," katanya.

Menurut Prof Dzulkifli lagi, kira-kira 10,000 rakyat Malaysia mati setiap tahun akibat penyakit berkaitan dengan tembakau termasuk kanser, angin ahmar dan juga penyakit kardiovaskular.

Berikutan itu, katanya, USM akan mengadakan kempen mengumpul sejuta tandatangan sebagai membantah penganjuran ekspo itu dan menyerahkannnya kepada kerajaan kelak.

"Jika ekspo ini dibenarkan, ia seolah-olah memperolok-olokan usaha kerajaan memerangi penggunaan tembakau," katanya.