Seramai 541 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) disingkirkan kerana gagal mencapai tahap minimum dalam peperiksaan Penilaian Menentah Rendah (PRM) tahun lalu.

Daripada jumlah itu, pelajar MRSM Kuala Krai paling ramai disingkirkan, iaitu 69 orang, diikuti oleh MRSM Kuala Lipis (55), MRSM Grik (45), MRSM Batu Pahat (40), MRSM Kota Kinabalu (36), MRSM Transkrian (36), MRSM Muadzam Shah (30), MRSM Kuching (28), MRSM Pasir Tumboh (24), MRSM Pendang (23).

Seramai 19 pelajar lagi ialah dari MRSM PDRM Kulim, MRSM Lenggong (19), MRSM Langkawi (18), MRSM Pontian (18), MRSM Jeli (15), MRSM Mersing (15), MRSM Serting (13) MRSM Terendak (13), MRSM Kuala Klawang (12) dan MRSM Kuala Kubu Baharu (11).

Kelayakan minimum dalam PMR bagi memastikan mereka kekal di MRSM ialah 6A 2B, dengan keputusan A dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.

Menurut laporan Bernama, Ketua Pengarah Mara Datuk Zamani Mohamed Noor berkata, pihaknya sedang menyiasat punca kegagalan pelajar terbabit, sambil menegaskan Mara tidak akan melayan rayuan mereka.

Katanya, pelajar yang disingkirkan boleh menyambung semula pelajaran mereka ke tingkatan empat di sekolah menengah biasa. Tahun lalu, 3,450 pelajar dari 20 MRSM menduduki PMR.

MRSM-YT Dungun

Zamani berkata, Mara tidak akan berkompromi dalam hal tersebut kerana kegagalan pelajar MRSM mengekalkan prestasi cemerlang mereka akan memberi imej buruk kepada MRSM.

"Kita ada cikgu yang bagus, sekolah yang baik, sistem yang baik kenapa pelajar-pelajar ini masih tidak boleh mencapai sasaran kita. Kita tidak akan simpan pelajar yang ada masalah," katanya selepas meraikan empat pelajar MRSM Kuala Terangganu yang menjadi juara Anugerah Pembelajaran Sains Sony 2004 Kuala Lumpur hari ini.

Zamani juga berkata Mara tidak akan membuka semula MRSM-YT (Yayasan Terangganu) Dungun seperti yang dilakukan ke atas MRSM-YT Besut yang dibuka semula Jun lalu.

Katanya Mara sedang mengenal pasti tapak baru yang sesuai di daerah berkenaan untuk mendirikan semula MRSM Dungun.

"MRSM itu akan dibina di kawasan seluas 20 hektar dan dijangka menelan kos RM35 juta. Pembangunannya telah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Bila RMK-9 mula tahun depan, kita akan mulakan pembinaannya," kata Zamani.

MRSM-YT Dungun dan Besut ditutup pada 2003 kerana masalah operasi dan keenganan Kerajaan PAS Terangganu ketika itu, menurunkan kuota pengambilan pelajar negeri itu dari 80

peratus kepada 40 peratus.