Pekerja pembersihan sekolah tuntut gaji 9 bulan
Seramai 51 pekerja pembersihan di tujuh buah sekolah tidak dibayar gaji bagi tempoh tujuh hingga 10 bulan iaitu antara Mac hingga Disember tahun lalu.
Penyelaras Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan, Rani Rasiah berkata pemilik syarikat kontraktor berkenaan, Time Medi Enterprise diisytihar muflis pada Julai 2015, namun kebanyakan kakitangan meneruskan kerja selepas dinasihati Pejabat Pendidikan Daerah Kinta Utara.
Berdasarkan perjanjian dengan Kementerian Pendidikan, katanya, kontraktor dikehendaki membayar gaji pekerja terlebih dahulu dan menuntut semula wang berkenaan daripada KPM dengan mengemukakan baucer bayaran.
Selepas itu, pihaknya diberitahu oleh Bahagian Perolehan dan Pengurusan Aset Putrajaya bersama wakil dari JPN Perak dan PPD Kinta Utara bahawa semua wang gaji pekerja berkenaan telah dibayar kepada kontraktor tersebut.
Bagaimanapun menurut Rani, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam jawapan bertulis pada 9 Mac lalu menyatakan KPM tidak membuat sebarang pembayaran kepada syarikat itu selepas 31 Mei 2015.
"Ini bermakna gaji dan gaji minima tertunggak bagi setiap pekerja Time Medi antara RM7,000 hingga RM11,000 setiap pekerja adalah selamat.
"Maka pekerja-pekerja memohon untuk mendapatkan balik gaji dan gaji minima tertunggak secepat mungkin," katanya pada satu kenyataan media.
Pekerja pembersihan yang terlibat adalah dari 7 buah sekolah di Ipoh iaitu SJKC Wan Hwa 1, SJKC Wan Hwa 2, SJKC Yuh Hua, SJKC Pasir Pinji 1, SJKC Pasir Pinji 2, SMK Tarcisian Convent, dan SMK Ave Maria Convent.

