Tak masuk akal PAS tolak hudud
ULASAN Tidak masuk akal, PAS menolak hudud di dalam perjuangannya apabila membentuk blok ketiga bersama Parti IKATAN pada 16 Mac 2016. Perjuangan PAS sejak 1951 untuk menegakkan Islam yang syumul.
Perbezaan PAS dengan Umno sejak PAS ditubuhkan bukan soal puasa, zakat, haji, tahajud. Perbezaan dengan Umno ialah kerana PAS hendak menegakkan Islam yang syumul. Hudud sebahagian daripada ajaran Islam sebagaimana kita tidak boleh menolak hukum riba, aurat, kemasyarakatan dan sebagainya.
PAS konsisten apabila kita bertahaluf dengan mana-mana pihak. Soal prinsip PAS kita tidak pernah gadai dan kita menghormati prinsip parti lain. Cuma orang lain perlu hormat prinsip PAS.
Jangan ada orang yang cuba hendak sekat cita-cita PAS. Jangan ada orang hendak halang PAS bercakap prinsip PAS. PAS tidak pernah putus asa walaupun cita-citanya tidak tercapai. InsyaAllah sinar kebenaran akan terbukti.
Dalam isu pilihan raya kerajaan tempatan, PAS mengambil sikap berdiam diri, walaupun PAS daripada awal lagi tidak bersetuju. PAS tidak bising, kita tidak kata ini langgar perjanjian dan manifesto bersama. Ini adab kita berkawan.
Saya membaca di dalam media sosial yang berbentuk sinis. Kononnya PAS sudah tidak mahu memperjuangkan hudud. Walaupun kita kenal siapa individu ini. Merekalah orang yang melompat marah apabila PAS bercakap soal hudud dan syariat Allah.
Tiba-tiba berlakon konon PAS sudah meninggalkan hudud. Hakikatnya siapa yang alergik hudud. Golongan ini adalah golongan serba tidak kena. Biarkanlah golongan ini dengan dunianya, asalkan mereka rasa bahagia, walaupun hakikat sebaliknya.
PAS bukan Taliban
PAS berkali-kali menegaskan hendak melaksanakan hudud mesti ikut peraturan yang kita telah terima pakai dengan mengikut saluran demokrasi. PAS bukan Taliban, teokrasi, revolusi, IS. PAS mengambil pendekatan demokrasi dan muwajahah silmiah.
PAS telah praktikkan di Kelantan dan Terengganu apabila mandat diberi oleh rakyat dalam pilihan raya maka Pas melaksanakan amanah tersebut melalui proses undang-undang.
Sebelum kerajaan meluluskan Enakmen Jenayah Syariah, ia telah mengadakan public forum untuk dibahas yang diadakan di seluruh negara. Berbagai pihak dijemput di kalangan peguam, Sisters In Islam, cendiakawan, ulamak, pengamal undang-undang diminta untuk memberi pandangan dan pencerahan.
Mana ada di dunia, sebelum undang-undang hendak diluluskan di dewan negeri dan parlimen dibahas oleh orang awam.
Masyarakat Kelantan faham hudud
Tun Mahathir Mohamad memberi amaran kepada kerajaan Kelantan supaya jangan laksanakan enakmen kanun jenayah syariah dan akan diambil tindakan jika Kelantan laksanakan.
Oleh kerana perjuangan PAS ialah syumul, walaupun tidak boleh laksanakan enakmen jenayah syariah maka PAS telah mengadakan siri penerangan dan hari hudud.
Sehingga masyarakat Kelantan terutamanya termasuk orang bukan Islam faham hukum hudud dan mereka tidak takut.
Musuh PAS cuba gambarkan kononnya PAS hanya perjuangkan hudud sahaja. Seolah-olah PAS hanya bercakap soal hudud sahaja, tidak bercakap isu kepentingan rakyat.
Jikalau PAS hanya perjuangkan hudud sahaja sudah tentu kerajaan Kelantan tidak perkenalkan skim Kifalah, program It'am, pinjaman tanpa faedah, cuti bersalin 90 hari, rumah tiga bilik, memindah wang kerajaan kepada Bank Islam, cuti dua hari, mengharamkan judi, haramkan arak untuk orang Islam, al-Rahnu dan orang perempuan tidak boleh gunting rambut lelaki.
Akhirnya kerajaan pusat mengikut apa yang dirintis oleh kerajaan Kelantan. Yakin Islam untuk semua. PAS sentiasa evergreen.
IDRIS AHMAD Naib Presiden PAS

