Pemuda PAS Wilayah Persekutuan hari ini membuat laporan polis terhadap tiga lamanweb yang didakwanya menghina Islam dan cuba memesongkan akidah umat Islam.

Ketua Pemudanya, Riduan Mohd Noor membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi Kuala Lumpur pada jam 3.30 petang tadi bersama dua rakannya, menggesa polis menyiasat lamanweb tersebut.

Dalam laporannya itu, Riduan mendakwa, tiga lamanweb itu satu daripadanya dikendalikan oleh rakyat tempatan menyalurkan maklumat yang boleh mengeliru dan menyesatkan umat Islam di negara ini.

Bagaimanapun, ketika ditemui selepas itu, beliau berkata, malaysiakini bukanlah antara tiga lamanweb yang disenaraikan dalam laporan polis tersebut.

Sementara itu, dalam laporan polisnya itu juga, beliau mendakwa satu daripada lamanweb tersebut bertanggungjawab menyiarkan kitab bertajuk "The True Furqan" yang cuba menyaingi kitab suci al-Quran bagi memperdaya umat Islam.

Selain itu, katanya, ada beberapa lamanweb lain yang dikenalpasti antaranya dikatakan menghina Nabi Muhammad s.a.w.

Riduan mendakwa, pada 13 Disember lalu sebuah lamanweb tempatan didapati mempermainkan umat Islam menerusi debat kononnya umat Islam Malaysia dibenarkan menghina agama lain terutama dalam setiap khutbah Jumaat.

Katanya, The True Furqan cuba memaparkan surah-surah tiruan seperti Al-Fateha, Al-Mahabbah, Al-Maseh, Al-Salb, Al-Thalooth, An-Nissa dan Al-Injil.

Tindakan tegas

"The True Furqan juga mendakwa ia adalah kitab sahih dan diturunkan untuk membimbing manusia. Surah ini juga mendakwa manusia yang melakukan zina boleh menebus dosa mereka dengan mudah jika berpegang kepada ajaran kitab itu.

"Ia juga mendakwa kononnya umat Islam dibenarkan menghina orang lain. Menggunakan ayat bacaan permulaan dengan 'In The Name Of The Father, the word, the Holy Spirit dan only True God berbanding dengan bacaan umat Islam "Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang."

Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkuasa perlu menangani lamanweb tersebut dengan segera kerana ia boleh menggugat perpaduan negara.

Katanya, keharmonian kaum dan kebebesan beragama tidak seharusnya dirosakkan oleh anasir-anasir yang cuba mempengaruhi fikiran masyarakat khususnya umat Islam di negara ini.

"Saya menggesa polis mengambil tindakan tegas terhadap pengendali lamanweb tersebut terutama yang beroperasi dalam negara kerana ia membahayakan keharmonian masyarakat berbilang kaum," katanya.

Baru-baru ini, akhbar tempatan melaporkan Jabatan Kemajuan Islam malaysia (Jakim) sedang dalam proses kajian untuk menghalang tiga lamanweb, termasuk satu dikendalikan rakyat tempatan kerana dipercayai menyalurkan maklumat boleh mengeliru dan menyesatkan umat Islam di negara ini.

Pengarah Penyelidikan Jakim, Anan C Mohd dilaporkan berkata, kitab The True Furqan kini dalam siasatan Jakim untuk menentukan kesahihan kandungannya sebelum diserahkan kepada Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mustaffa Abdul Rahman.

Satu daripada lamanweb itu telah menyiarkan kitab The True Furqan itu.