Thailand telah menghantar surat kepada Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar untuk memaklumkan hasrat negara itu yang mahukan seorang suspek militan yang kini ditahan di Malaysia diekstradisi ke negara itu.

Menurut laporan Bernama , Syed Hamid memberitahu pemberita di Putrajaya hari ini, bahawa ia bukan permohonan rasmi bagi ekstradisi.

"Ia cuma satu notifikasi untuk makluman kita, memaklumkan hasrat mereka agar orang berkenaan diekstradisi," katanya mengenai isi kandungan surat dari rakan sejawatannya Surakiart Sathirathai.

Difahamkan ia merupakan perutusan rasmi yang pertama dihantar oleh Bangkok berhubung perkara itu.

Suspek itu yang dikenali sebagai Abdul Rahman Ahmad atau Doramae Kuteh, telah ditahan oleh polis Malaysia mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Dilaporkan suspek yang juga dikenali sebagai Deraman Koteh, didakwa menjadi perancang utama keganasan di selatan Thailand.

Ikut prosidur

Syed Hamid yang enggan memberikan butiran lanjut berhubung perkara itu, menyatakan ia perlu mengikut prosedur.

Beliau bagaimanapun berkata bagi membolehkan seseorang itu diekstradisi, ia perlu meliputi kesalahan-kesalahan yang termaktub dalam perjanjian ekstradisi antara negara yang berkenaan dan ia tiada kaitan dengan kewarganegaraan seseorang itu.

Syed Hamid juga berkata beliau menerima sepucuk lagi surat dari Surakiart yang menyatakan rasa gembiranya dengan hubungan baik yang sedia terjalin antara kedua-dua negara.

"Surat itu menyatakan Thailand menganggap hubungannya dengan Malaysia sebagai amat penting dan beliau juga menyatakan rasa gembiranya dengan kerjasama erat yang terjalin antara Malaysia dan Thailand," katanya.

Syed Hamid berkata Malaysia berbesar hati menerima surat yang sungguh mengharukan seumpama itu daripada negara jiran.

"Dan saya akan membalas surat itu untuk menyatakan terima kasih kerana menghargai hubungan erat antara Malaysia dan Thailand dan berhubung pentingnya bekerjasama dalam perkara-perkara kepentingan bersama," katanya.