Sebanyak 153 orang maut dan harta benda bernilai RM4.4 bilion musnah akibat kebakaran di seluruh negara pada tahun lepas.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Wira Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, pada 2014, kebakaran mengakibatkan 139 kematian dan kerugian harta benda bernilai RM2.8 bilion.
Bercakap kepada media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Bomba dan Penyelamat 2015 kepada 96 pegawai jabatan itu di Perpustakaan Negeri di sini hari ini, beliau berkata peningkatan jumlah kematian dan nilai kerugian itu berpunca daripada pertambahan kes kebakaran kilang.
"Lazimnya, lebih banyak kerosakan berlaku dalam kebakaran kilang, berbanding kebakaran biasa.
"Oleh itu, tahun ini, saya keluarkan arahan agar dua lagi pemeriksaan dilakukan terhadap kilang setiap tahun bagi memastikan aspek keselamatan kebakaran tidak dipandang ringan, terutama oleh mereka yang mengendalikan bahan amat mudah terbakar," katanya.
Mengenai musim kering di semenanjung sekarang, Wan Mohd Nor berkata jabatan itu sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan setelah mengalami dua keadaan cuaca melampau pada 2014 iaitu kemarau panjang pada awal tahun dan banjir besar pada hujung tahun.
"Dalam dua bencana alam itu, kami menerima lebih 98,000 panggilan kecemasan, yang merupakan suatu rekod bagi kami.
"Berikutan itu, kami meningkatkan keupayaan dan kemampuan kami melalui pembelian peralatan berharga lebih RM100 juta seperti kenderaan amfibia untuk semua bentuk rupa bumi, bot, set alat janakuasa, sistem lampu dan jentera bomba Hazmat untuk memadam kebakaran bahan toksik," katanya.
Mengenai Sarawak, Wan Mohd Nor berkata lebih banyak balai bomba dan penyelamat perlu dibina sebagai tambahan kepada 28 yang terdapat di seluruh negeri ini sekarang.
"Keutamaan kami ialah membina balai itu di lokasi strategik.
"Tiga balai baharu sedang dibina di Niah, Samalajau dan Tanjung Manis, manakala tapak baharu untuk membina beberapa balai yang lain sudah dikenal pasti," katanya.
Beliau berkata, balai bomba dan penyelamat di pekan Song kini hampir siap dan dijangka mula beroperasi menjelang bulan depan.
Menurut beliau, usaha sedang dilakukan untuk memantapkan pasukan bomba sukarela di luar bandar dan rumah panjang agar bantuan lebih cepat dapat diberi apabila berlaku kebakaran bagi mengelak kemusnahan besar.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Nor Hisham Mohammad berkata pihaknya menganjurkan program keselamatan kebakaran di 426 rumah panjang di seluruh negeri ini tahun lepas.
Pada 2014, pegawai jabatan itu melawat 99 rumah panjang untuk tujuan tersebut.
Nor Hisham berkata program itu bertujuan mendidik penduduk rumah panjang di kawasan pedalaman tentang cara mencegah dan memadam kebakaran.
Katanya, program di bawah inisiatif "Kembara Denyut Nadi" jabatan itu membawa mereka ke rumah panjang di kawasan terpencil yang tidak mempunyai kemudahan jalan raya.
"Sudah tentu balai kami di bandar terdekat dapat memberi respons segera kepada panggilan kecemasan dari rumah panjang seperti itu. Maka, ini adalah antara langkah kami untuk menolong mereka," katanya.
Nor Hisham mengucapkan terima kasih kepada badan korporat seperti Petronas, Shell, Malaysia Liquified Natural Gas (MLNG), Murphy Oil and Gas, Sime Darby dan lain-lain kerana membantu menaja program itu.
- Bernama
