Kerajaan Melaka terus menjadi sasaran DAP kerana membelanjakan RM200,000 setiap tahun untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan ahli Exco negeri dari Barisan Nasional (BN) mengadakan rumah terbuka menyambut hari kebesaran masing-masing.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menganggap tindakan kerajaan negeri itu sebagai menyalahgunakan kuasa dan membazirkan wang rakyat kerana mendakwa ianya dibelanjakan untuk tujuan politik BN.

Sebelum ini, Guan Eng telah mengecam lawatan Kerajaan Melaka ke Amerika Syarikat, yang menurutnya, sekadar menghabiskan wang kerana tidak memberi sebarang manfaat kepada sektor pelancongan Melaka.

Beliau dilaporkan berkata, sepanjang lawatan 15 hari itu, hanya ada satu acara rasmi sedang anggota rombongan singgah di beberapa tempat termasuk di Timur Tengah.

Mengenai majlis rumah terbuka itu, Guan Eng berkata: "Saya difahamkan setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN diberikan RM5,000 manakala setiap ahli exco pula diberikan RM13,000 oleh kerajaan negeri untuk mengadakan rumah terbuka itu setahun sekali.

"Memandangkan ianya adalah wang rakyat, bukankah ini merupakan satu penyalahgunaan kuasa kerana membolehkan ia dibelanjakan untuk tujuan politik BN," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Oleh itu, katanya, majlis rumah terbuka yang diadakan oleh wakil BN setiap tahun adalah menggunakan wang rakyat.

"Oleh itu, rakyat mesti ingat, semasa mengunjungi rumah terbuka wakil rakyat BN, kos makanan dan minuman bukanlah keluar dari kocek mereka sendiri, tetapi daripada wang rakyat sendiri," tegasnya.

Promosi BN

Guan Eng mendakwa, itulah sebabnya mengapa BN berjaya memancing undi "dengan memberi makanan dan minuman percuma, tetapi semua ini daripada wang rakyat".

"Perlu ditegaskan bahawa Adun pembangkang tidak pernah menerima sebarang peruntukan wang daripada kerajaan untuk mengadakan rumah terbuka," tegasnya.

Sebaliknya, kata beliau, DAP tidak akan membantah sekiranya perbelanjaan sebanyak RM200,000 setahun ini digunakan untuk memberikan derma kepada mereka yang tidak bernasib baik.

"Tetapi sekiranya ia digunakan untuk mempromosi BN dan juga kepentingan politik Adun BN, ia merupakan satu penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

"Saya tidak faham apakah faedahnya kepada rakyat Melaka (apabila) Adun BN biasa yang tidak memegang sebarang jawatan kerajaan boleh diberikan peruntukan sebegini," tegasnya.

Guan Eng juga mendakwa, sebelum ini, kerajaan BN Melaka membazirkan wang rakyat untuk berseronok seperti makan angin, berpolitik dengan menuntut elaun perbatuan seperti mengadakan sidang akhbar di rumah sendiri atau berkempen dalam pilihanraya kecil dan juga menghadiri mesyuarat di Kuala Lumpur.

"Jelas sekali ini menyalahi slogan pilihanraya BN "Tradisi Membela Rakyat" (yang mungkin harus ditukar kepada "Tradisi Membazirkan Wang Rakyat") dan juga usaha Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membersihkan pentadbiran kerajaan dari penyalahgunaan kuasa," katanya.