Guan Eng kesal penuduh beliau enggan bersemuka
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata beliau bersedia untuk menjawab dakwaan berkenaan pembelian banglo berharga RM2.8 juta di parlimen.
Katanya, beliau akan berada di parlimen esok untuk menghadapi tuduhan itu.
Bagaimanapun, katanya, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahya juga perlu bersedia untuk mengulangi dakwaannya yang membayangkan beliau melakukan rasuah, di luar Parlimen.
"Dia mempunyai kekebalan undang-undang di parlimen, tetapi adakah dia bersedia untuk mengulangi tuduhan itu di luar supaya saya boleh menggunakan hak saya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau untuk membersihkan nama saya?" Kata Lim kepada pemberita di Komtar hari ini.
Lim berkata Shabudin telah diberi peluang untuk bersemuka dengan beliau di Komtar bagi "mencari kebenaran fakta" tetapi tidak mengambil peluang untuk berbuat demikian.
"Saya bukan seperti orang yang menakutkan sehingga dia tidak boleh berjumpa dengan saya," kata Lim berseloroh.
Rafizi pasti ambil peluang
Hadir sama dalam sidang akhbar untuk berdialog dengan Shabudin itu ialah setiausaha politik Lim yang juga ADUN Air Itam, Wong Hon Wai serta pegawai komunikasi Mejar (B) Zaidi Ahmad.
Wong telah menulis surat untuk menjemput Shabudin ke Komtar hari ini manakala Zaidi telah mengemukakan surat itu kepada Shabudin sendiri di Tasek Gelugor.
"Jika kedua-dua orang ini 'menimbulkan masalah', saya akan minta mereka keluar dan tinggalkan Shabudin bersendirian dengan saya," kata Lim.
Lim berkata, sekiranya pemimpin pembangkang (Pakatan Harapan) seperti Ahli Parlimen Rafizi Ramli (PKR-Pandan) dan Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) diberikan peluang bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kedua-duanya pasti akan merebut peluang berkenaan.

