4 kereta, 2 treler musnah akibat bakar rumput
Akibat membakar rumput di tepi jalan semasa cuaca panas dan kering, empat buah kereta dan dua unit treler traktor musnah di Changkat Lada, Seberang Perak, kira-kira 70 kilometer dari Ipoh semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar, Zaiful Efendi Ahmad berkata kesemua kenderaan terbabit, yang diletakkan di bahu jalan berdekatan kawasan rumput kering itu, adalah untuk dibaiki di sebuah bengkel di situ.
"Memandangkan hari ini cuti dan bengkel itu tutup, jadi semua kenderaan itu terpaksa ditinggalkan di bahu jalan," katanya ketika dihubungi Bernama malam tadi.
Zaiful Efendi berkata tiga daripada empat kereta model lama itu musnah terbakar sehingga 90 peratus manakala sebuah lagi terbakar 50 peratus dalam kejadian kira-kira 2.40 petang.
"Turut terbakar hampir keseluruhannya adalah kedua-dua treler traktor itu," katanya sambil memberitahu bahawa rumput kering itu dibakar penduduk tempatan.
Zaiful Efendi berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 2.45 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian bersama-sama sebuah jentera dan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar selain dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan serta Pasukan Bomba Sukarela Seberang Perak.
Operasi memadam kebakaran itu berakhir pada 4.04 petang tadi.
Beliau juga menasihati orang ramai supaya peka dengan keadaan cuaca sekarang dan tidak melakukan pembakaran terbuka sesuka hati.
- Bernama

