Jangan kaitkan kami dengan 1MDB, kata PBB kepada DAP
Seorang pemimpin BN Sarawak kesal dengan usaha berterusan DAP negeri itu untuk mengaitkan kerajaan negeri dengan skandal Putrajaya, seperti 1MDB.
Ketua Penerangan Parti Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Peter Minos berkata adalah tidak adil untuk mengecap BN Sarawak bersalah melalui kaitan sebegitu.
"Ambil contoh rumah panjang - jika tuan rumahnya (ketuanya) membuat kesilapan atau melanggar undang-undang, adalah tidak betul atau adil untuk menyalahkan semua orang di rumah panjang itu atau menghalau mereka keluar," kata Minos kepada Malaysiakini.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini menjadi bahan utama "kempen" pembangkang dalam pilihan raya negeri akan datang kerana skandal 1MDB dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Minos berkata, itu merupakan "isu-isu KL", dan DAP tidak sepatutnya menyalahkan BN Sarawak untuk itu.
Begitu juga, katanya, BN Sarawak tidak akan menyalahkan DAP berhubung kontroversi pembelian rumah banglo Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
"Kami tidak menuntut Chong meninggalkan DAP atau memutuskan hubungan dengan DAP Pulau Pinang atau DAP pusat hanya kerana kontroversi "pembelian rumah besar di bawah harga pasaran' itu yang membabit Lim di Pulau Pinang."
Lim didakwa membeli rumah banglo di George Town itu tahun lepas di bawah harga pasaran, iaitu pada harga RM2.8 juta.

