Nasrudin yakin PINTA akan angkat imej Maahad Tahfiz
Setiausaha Kongres Rakyat, Nasrudin Hassan menyambut baik kelahiran Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Kebangsaan (PINTA) yang disifatkan sebagai sebuah gabungan yang berkesan dalam mengangkat imej pusat pengajian tahfiz seluruh negara.
"Kelahiran PINTA sangat dialu-alukan agar menjadi satu gabungan yang efektif menjulang imej huffaz Al-Quran agar tidak dipandang sinis oleh sebahagian masyarakat apa lagi dianak tirikan dalam sistem pendidikan perdana.
"Selaku Setiausaha Kongres Rakyat, saya mengucapkan tahniah kepada PINTA atas kejayaan menganjurkan Himpunan 20,000 para huffaz yang mewakili kira-kira 300 buah Maahad Tahfiz dari seluruh negara," katanya yang turut diundang ke majlis perasmian PINTA Kebangsaan di Masjid Wilayah malam tadi.
Nasrudin yang juga Ketua Pemuda PAS berkata, Kongres Rakyat sebelum ini turut menggesa kerajaan agar serius memperkasakan institusi pengajian Islam, sekolah agama rakyat termasuklah pusat pengajian tahfiz Al-Quran.
"Saya yakin PINTA akan berjaya mengangkat imej dan kualiti Maahad Tahfiz seluruh negara agar menjadi sebuah institusi utama untuk melahirkan generasi al Quran malah saya doakan sebaiknya agar dapat mencapai nisbah satu keluarga muslim seorang hafiz al Quran pada masa akan datang," katanya dalam kenyataan media.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam berkata kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang merangka Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) bagi memperkasakan institusi pendidikan tahfiz Al-Quran di negara ini.
Sehubungan itu, beliau menyarankan madrasah-madrasah tahfiz di negara ini supaya turut memberikan pandangan dan cadangan kepada pembangunan DPTN dalam usaha memastikan institusi pendidikan tahfiz al-Quran terus subur di Malaysia.
"Saya sendiri akan memberikan perhatian secara peribadi kepada pembentukan dan pelaksanaan DPTN," kata Najib.

