Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mendakwa pemikiran liberal antara "ajaran sesat" aktif di Malaysia.

Katanya, pemikiran itu antara tiga ajaran sesat aktif lain, selain Pertubuhan Kerabat Raja Saksi (penjenamaan semula ajaran Azhar Wahab atau al-Mansur) dan Millah Ibbrahim yang berasal dari Indonesia.

Dalam jawapan bertulis parlimen, Jamil ( gambar ) berkata sehingga kini sebanyak 99 ajaran telah difatwakan sesat oleh negeri-negeri di Malaysia.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Bachok) yang mahu tahu jumlah jenayah seksual yang melibatkan ajaran sesat sedak 1980.

Beliau juga mahu tahu sama ada kerajaan telah membendung ajaran itu dan apakah ajaran baru yang dikesan.

Sementara itu, Jamil yang juga anggota parlimen Jerai berkata, terdapat juga ajaran sesat yang bukan daripada aliran Ahli Sunnah wal Jamaah.

Bagaimanapun, katanya lagi, bilangan itu telah berkurangan berbanding tahun-tahun sebelumnya kepada hanya tiga ajaran.

"Penurunan itu adalah kesan daripada langkah-langkah yang diambil termasuk penjelasan, pemfatwaan dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan," katanya.

Sementara itu, berhubung jenayah seksual melibatkan ajaran sesat, kata menteri, ia bukan bawah bidang kuasa kesalahan syariah tetapi Kanun Keseksaan.