Polis sentiasa dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang bentuk ancaman oleh kumpulan militan, khususnya penggunaan senjata biologi seperti gas sarin dan kuman antrax, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"Setakat ini, tidak terkesan sebarang bentuk ancaman atau serangan sedemikian (menggunakan senjata biologi) oleh kumpulan militan berkaitan yang dilihat tidak mempunyai kepakaran dalam melaksanakan serangan sedemikian," kata Zahid dalam jawapan bertulis di Parlimen pada Khamis lalu.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN-Kota Tinggi) yang meminta kerajaan menyatakan sejauh manakah tahap kesiapsiagaan dalam menangani serangan senjata biologi oleh kumpulan pengganas seperti militan IS, Suluk, kumpulan Abu Sayaf dan sebagainya.
Sebelum ini, kerajaan memberi amaran bahawa Malaysia menjadi sasaran kumpulan pengganas IS.
Zahid berkata kumpulan militan berkenaan merancang untuk menculiknya dan beberapa pemimpin lain termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tahun lalu.
Bagaimanapun, katanya, berdasarkan undang-undang keselamatan seperti Akta Pencegahan Keganasan (Pota), rancangan berkenaan berjaya digagalkan.
Januari lalu, pengganas IS melancarkan serangan ke atas Jakarta yang menyaksikan empat orang awam dan empat pengganas terbunuh.
