'Gambar, cap jari diambil, S'pura layan saya macam pengganas'
Tokoh akademik kontroversi, Ridhuan Tee Abdullah mendakwa beliau disekat masuk ke Singapura baru-baru ini dan dilayan seperti pengganas oleh jabatan imigresen negara itu.
Menulis pengalamannya dalam kolum di Sinar Harian , Ridhuan Tee berkata beliau percaya sekatan tersebut ada kaitan dengan komen beliau terhadap golongan yang didakwanya sebagai 'ultra kiasu'.
"Baru-baru ini, saya bersama rakan, pergi ke Singapura menggunakan jalan darat atas urusan peribadi. Sampai di Imigresen Woodland, saya diminta turun. Pemeriksaan dilakukan.
"Saya dilayan seperti pengganas. Gambar dan cap jari saya diambil. Setelah lebih dua jam bersoal jawab, datang surat mengatakan, saya tidak dibenarkan masuk ke sana.
"Alasan tidak diberikan. Tetapi saya yakin ia amat berkaitan dengan komen saya terhadap ultra kiasu selama ini," katanya yang mendakwa turut diiringi pulang melepasi tambak Johor.
Meskipun tidak menyebut secara jelas, namun beliau dipercayai merujuk 'ultra kiasu' kepada parti yang didominasi keturunan Cina, DAP.
"Saya tidak rugi satu sen pun tidak ke Singapura. Cuma, saya hanya mahu mengingatkan betapa bahayanya ultra kiasu," tambahnya.
Sementara itu, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur ketika dihubungi Malaysiakini berkata pihaknya tidak mempunyai rekod berhubung kejadian berkenaan.
Bagaimanapun, pegawai itu enggan mengulas lanjut.
Menulis di ruangan itu, Ridhuan turut menyentuh mengenai Perjanjian Pakatan Harapan dan Deklarasi Rakyat yang dianggap tidak menguntungkan Islam, melainkan ultra kiasu.
"Sampai bila kita harus diperbodohkan oleh ultra kiasu demi kuasa? Ultra kiasu akan terus memperalatkan orang Islam untuk menguburkan PAS.
"Maka alasan kebobrokan Umno BN dan PAS digunakan bagi tujuan mendapat kuasa. Apabila kuasa diperoleh nanti, lihatlah apa yang akan berlaku, seperti realiti di Pulau Pinang. Melayu ke mana, Islam di mana? Wakil rakyat PKR sudah ditendang keluar daripada memegang jawatan dalam syarikat kerajaan di sana," tulisnya.
Katanya, pertubuhan pro Melayu seperti PERKASA sudah mengingatkan orang Melayu agar berwaspada dengan percubaan 'ultra kiasu' bagi mengambil hati mereka menjelang PRU14.
"Walaupun ultra kiasu sering berkata partinya berbilang kaum, berasaskan perlembagaan, tetapi berapa kerat muka Melayu.
"Kepimpinan tertinggi mereka adalah muka-muka yang mahu menjahanamkan Melayu. Lihatlah bapa mereka di Singapura, adakah Melayu diberi peluang dalam jawatan membuat keputusan, polis, imigresen dan tentera, misalnya. Jawapannya, putih mata," katanya.

