Kementerian Pengangkutan sedang menimbangkan untuk turut mewajibkan pemohon lesen memandu kenderaan biasa dan motosikal untuk mengambil kursus kaunseling yang wajib kepada pemohon lesen memandu kenderaan komersial.

Akhbar Nanyang Siang Pau , memetik Timbalan berkenaan, Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar sebagai berkata, ini kerana tindakan penguatkuasaan bukan merupakan cara terbaik untuk memantau budaya samseng jalan raya atau mengatasi pemanduan merbahaya.

Oleh itu, beliau berkata, pihaknya akan menyediakan kursus kaunseling khas dan menyalurkan kesedaran keselamatan kepada para pemandu.

"Pada masa ini, kursus berkenaan hanya diadakan untuk pemandu lori, bas dan teksi sahaja. Kami akan menimbang untuk meluaskannya kepada pemandu kenderaan biasa dan motosikal," ujarnya.

Menurutnya lagi, pihak polis dan pihak penguatkuasa untuk meningkatkan pemantauan keselamatan jalan raya semasa musim perayaan Tahun Baru Cina untuk memastikan tiada mereka yang akan menjadi mangsa samseng jalan raya.

Tengku Azlan berkata, memandangkan kejadian buruk yang berlaku di jalan raya juga berpunca daripada pengguna sendiri, maka pihak berkenaan akan menimbang untuk menyediakan lebih banyak lagi kursus khas untuk para pemandu.

Berikutan itu, katanya, Kementerian Pengangkutan akan menubuhkan Jabatan Keselamatan Jalan serta mengadakan pelbagai seminar dan aktiviti untuk disertai para pemandu bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai keselamatan jalanraya.

Sebar maklumat

Manakala akhbar Oriental Daily News pula memetik Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Donald Lim Siang Chai sebagai berkata stesen televisyen swasta merupakan 'jambatan' antara kerajaan dengan dakyat dan patut membantu menyebarkan maklumat atau informasi.

Katanya, selain TV1, TV2, TV3, NTV7, 8TV, Channel 9, Astro, dan MITV juga perlu membantu kerajaan menyebarkan maklumat, dan bukan hanya tertumpu kepada rancangan sendiri sahaja

Sehingga ini, katanya, stesen televisyen swasta turut memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat kerajaan, termasuk mengenai kempen anti-dadah, demam denggi atau penangkapan pendatang asing tanpa izin dan sebagainya.

Lim bercakap demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan aktiviti penulisan kaligrafi Cina anjuran Persatuan Hokkien Negeri Sembilan di Muzium Negeri Sembilan semalam.

Sebelum ini, Menteri Penerangan, Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir mengkritik sikap stesen televisyen kerana beranggapan dirinya sebagai'Menteri Stesen Televisyen Kebangsaan Malaysia', dan bukan Menteri Penerangan.

Berikutan sedemikian, kata Lim, menyebabkan stesen televisyen swasta kurang menyiarkan maklumat, aktiviti, dan rancangan mengenai kerajaan.