Lim kecewa penuduh Umno enggan minum kopi bersama
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kecewa Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Shabudin Yahaya enggan minum kopi bersamanya bagi menunjukkan bukti mengenai isu pembelian sebuah rumah dan penjualan tanah negeri di Taman Manggis kepada pemaju swasta.
Kata Lim, tindakan seorang ketua menteri menjemput ahli parlimen meminum kopi bersama bagi memberikan penjelasan adalah perkara yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Saya kecewa, hampa sikit la bila saya menjemput dia, mempelawa dia secara baik pun sediakan secawan kopi untuk dia, pun dia tak wujud.
“Saya rasa itu kali pertama seorang ketua menteri menjemput pihak yang tuduh dia untuk tunjukkan bukti dan dengar penjelasan secara langsung daripada saya,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.
Menjelaskan isu itu, Lim berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang tidak mengalami sebarang kerugian memandangkan pembelian tanah tersebut adalah melalui tender terbuka.
Bagaimanapun, katanya pemimpin Umno itu enggan mendengar penjelasannya.
“Kami tidak lihat apakah masalah dia (Shabudin). Pembelian rumah saya ada kaitan dengan pembelian sebuah tanah dan ia dibuat secara tender terbuka.
“Maka kita pilih tender yang menawarkan paling tinggi. Tidak ada sebarang kerugian terhadap kerajaan negeri, malangnya beliau tidak mahu tunjukkan di mana amalan rasuah bila kerajaan negeri berikan pembidaan pada harga yang paling tinggi… itu mungkin sebab beliau tidak mahu muncul.
“Kalau ada tuduhan rasuah, tunjuklah pada saya,” tegasnya.
Sebelum ini, Shabudin menuduh Lim membeli sebuah banglo dua tingkat di Jalan Pinhorn dengan harga RM2.8 juta di bawah nilai pasaran.
Shabudin juga mendakwa pembelian rumah pada 2015 itu mempunyai hubungan dengan jualan sebidang tanah kerajaan negeri di Taman Manggis pada 2012.
Bagaimanapun, Lim menafikan dakwaan itu dan berkata beliau bersedia untuk menjawab tuduhan Shabudin di Parlimen. Lim juga meminta Shabudin mengulangi dakwaannya di luar parlimen agar beliau boleh mengambil tindakan saman untuk membersihkan namanya.
Sementara itu, Lim berkata, beliau mahu melihat bukti tersebut dan menyifatkan Shabudin berselindung di sebalik kekebalan parlimen.
“Saya nak lihat buktinya, nampaknya beliau nak berselindung dalam kekebalan parlimen, kurang adil pada saya,” katanya.
Beliau ketika ditanya adakah bersedia memberi kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia (SPRM) berkata:
“Ya, sedia beri kerjasama pada SPRM,” katanya.

