‘Masalah kewangan 1MDB jejaskan gratuiti bekas tentera’
Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli hari ini mendakwa masalah kewangan 1MDB mungkin menjejaskan keupayaan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk membayar pampasan atau gratuiti kepada veteran tentera yang telah bersara.
Rafizi berkata beliau menerima aduan daripada pesara tentera yang memaklumkan bahawa mereka masih belum menerima bayaran pampasan itu walapun selepas enam bulan bersara.
Beliau percaya sehingga 12,000 bekas kakitangan tentera tutut terjejas.
Rafizi berkata proses pembayaran gratuiti seharusnya mengambil masa tidak lebih sebulan.
"Oleh itu, selama enam bulan mereka tidak mempunyai pendapatan," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Rafizi mengesyaki bahawa ini mungkin berlaku akibat kelewatan pembayaran oleh 1MDB kepada sebuah anak syarikat LTAT.
Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM) dilantik oleh 1MDB untuk menempatkan semula pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Sungai Besi dan menaik taraf beberapa pangkalan lain - ia antara syarat apabila 1MDB dianugerahkan tanah untuk pembangunan Bandar Malaysia.
Rafizi berkata kontrak itu bernilai RM2.1 bilion.
"Kami tidak tahu sama ada 1MDB telah selesai membuat pembayaran kepada PPHM.
"Jika 1MDB lewat bayar PPHM, saya bimbang bahawa LTAT akan terpaksa menggunakan dana mereka terlebih dahulu untuk membayar sub-kontraktor," katanya.
Malaysiakini telah menghubungi 1MDB untuk mendapatkan reaksi mereka.

