Pemuda PAS hari ini mencadangkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng supaya bercuti sehingga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melengkapkan siasatan berhubung pembelian banglo di bawah harga pasaran.

Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata tindakan bercuti itu perlu bagi memastikan ketelusan dan kelancaran proses siasatan pihak-pihak berwajib.

“Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang berpandangan bahawa Lim perlu bercuti daripada menjalankan tugas sebagai ketua menteri sehingga pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai melakukan siasatan.

“Kami turut menyokong pendirian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa Lim adalah tidak bersalah sehingga diputuskan bersalah oleh pihak mahkamah.

“Pendirian beliau ini disifatkan sebagai berjiwa besar kerana mengambil pendirian mempertahankan seseorang yang belum diputuskan bersalah walaupun bersikap memusuhi PAS,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Afnan Hamimi berkata pendirian itu adalah selari dengan pendekatan budaya politik matang dan sejahtera yang dipraktikkan oleh parti itu bertunjangkan prinsip Islam, iaitu brasional dalam membuat keputusan dan profesional dalam tindakan.

Katanya, sikap yang sama seperti ini dipamerkan semasa isu Tan Sri Khalid Ibrahim ketika krisis menteri besar Selangor sebelum ini.

“Sikap presiden PAS melambangkan konsistensi PAS terhadap prinsip perjuangan Islam yang mempertahankan kebenaran, sekalipun ia datang daripada pihak yang berlawanan.

“Pendekatan ini jauh berbeza dengan pendekatan politik konvensional sesetengah pihak yang mengambil pendekatan konfrontasi menewaskan musuh dengan apa jua cara, demi mencapai kepuasan politik kekuasaan semata-mata,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya mendakwa Lim membeli sebuah banglo dua tingkat di Jalan Pinhorn, Pulau Pinang pada harga RM2.8 juta di bawah nilai pasaran.

Shabudin juga mendakwa pembelian rumah pada 2015 itu mempunyai hubungan dengan jualan sebidang tanah kerajaan negeri di Taman Manggis pada 2012.

[Baca berita penuh]