Sambutan Tahun Baru Cina kali ini turut menandakan kejayaan perjuangan untuk pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta penggabungan Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia, kata Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Anwar dibebaskan pada bulan September tahun lalu selepas Mahkamah Persekutuan membatalkan sabitan dan hukumannya terhadapnya bagi kesalahan liwat.

Sebelum ini, beliau telah menjalani hukuman penjara enam tahun selepas beliau didapati bersalah bagi kesalahan salahguna kuasa.

"Kami juga berbangga kerana dapat meningkatkan persafahaman dan komitmen dalam memperjuangkan bahasa kebangsaan, bahasa ibunda dan keadilan ekonomi di kalangan rakyat Malaysia," kata Wan Azizah dalam perutusan Tahun Baru Cina.

Sehubungan itu, katanya, PKR mengucapkan kepada semua rakyat Malaysia berketurunan Tionghua dan rakan-rakan berbangsa Cina di seluruh dunia, agar dilimpahi kemakmuran sempena menyambut Tahun Baru Cina kali ini.

Makna sejagat

"Di Malaysia, sambutan Tahun Baru Cina diterima dan dihormati sebagai sebahagian daripada realiti kehidupan pelbagai kaum dan kebudayaan di negara ini seperti Hari Raya Puasa, Thaipusam, Deepavali and Christmas. Seperti biasa, rakyat Malaysia boleh berbangga dengan perpaduan kita dalam kepelbagaian ini," tambahnya.

Wan Azizah juga berkata, sambutan Tahun Baru Cina juga membawa makna sejagat yang mendalam.

"Menurut legenda Cina, asal-usulnya boleh dikesan kepada satu peristiwa di mana rakyat Cina ketika itu bersatupadu untuk menyingkir raksasa bernama "Nien" yang telah mengganggu gugat hartabenda dan nyawa mereka," katanya.

Sehubungan itu, katanya, sambutan Tahun Baru Cina juga menjadi simbol kejayaan kebaikan dalam menghapus kejahatan serta juga menandakan bermulanya kehidupan baru yang dipenuhi kemakmuran, keamanan dan keselamatan "yang pada dasarnya, juga menandakan aspirasi seluruh manusia".

Oleh itu, katanya, PKR yakin bahawa rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama akan meneruskan tradisi menziarahi rakan dan jiran sempena perayaan Tahun Baru Cina tahun ini.