Khutbah: Tindakan PAS Tganu dianggap gimik politik
Tindakan PAS membuat laporan polis terhadap arahan kerajaan negeri supaya imam membaca khutbah Jumaat mengenai tanggungjawab rakyat membayar cukai pintu di Terengganu disifatkan sebagai gimik politik semata-mata.
Tindakan PAS membuat laporan polis terhadap arahan kerajaan negeri supaya imam membaca khutbah Jumaat mengenai tanggungjawab rakyat membayar cukai pintu di Terengganu disifatkan sebagai gimik politik semata-mata.
Ahli Exco Islam Hadhari Terengganu, Wan Mohamad Wan Hassan berkata, PAS sengaja membuat laporan polis untuk menarik perhatian bahawa tindakan imam membaca khutbah Jumaat mengenai cukai pintu, sebagai tidak Islam.
"Kita melihat tindakan PAS lebih menjurus kepada sentimen politik dan bukannya kerana membaca khutbah Jumaat itu salah.
"Membaca khutbah Jumaat mengenai cukai pintu adalah tidak salah...ia tidak salah mengikut Enakmen Hal-Ehawal Agama Islam Terengganu dan tidak salah dalam Islam," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan PAS Terengganu membuat laporan polis Khamis lalu kerana mendakwa berlakunya penyelewengan fakta dan penghinaan agama dalam teks khutbah yang dikeluarkan oleh Jheat yang dibaca semasa sembahayang Jumaat lalu.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Datuk Abu Bakar Chik dilaporkan berkata, teks khutbah itu yang bertajuk "Cukai Pintu Ke Arah Masyarakat Maju dan Harmonis" boleh mengelirukan dan mengandungi unsur-unsur penyelewengan fakta dan penghinaan terhadap agama Islam.
Garis panduan
Ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu Khamis lalu, Abu Bakar dilaporkan berkata pihaknya kesal dan mengharapkan perkara seumpama ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang.
Abu Bakar juga mendakwa khutbah tersebut menyeleweng dari segi fakta sejarah dan menurutnya telah memfitnah pemerintahan Saidina Abu Bakar As-Siddiq dengan membandingkan zakat dengan cukai pintu yang hendak dikenakan semula oleh kerajaan negeri setelah ianya dihapuskan oleh kerajaan negeri PAS sebelum ini.
Bagaimanapun, Wan Mohammad berkata, imam bebas membaca khutbah Jumaat di masjid masing-masing selagi ia tidak bertentangan dengan dasar kerajaan negeri.
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (Jheat), katanya, menyediakan garis panduan kepada semua imam mengenai khutbah yang boleh dibaca semasa solat Jumaat.
Pada 28 Januari lalu,, semua masjid di negeri tersebut diarah membaca khutbah Jumaat mengenai pentingnya membayar cukai pintu di negeri itu.
Ketua Penolong Pesuruhjaya Jheat, Omar Musa pula berkata, kerajaan negeri meminta pihaknya mengarahkan khatib membaca khutbah mengenai cukai pintu di semua masjid di Terengganu.
Kepentingan bersama
"Khutbah tersebut menerangkan kepada masyarakat tentang pentingnya umat Islam dan rakyat membayar cukai pintu bagi menjana pembangunan ekonomi negara untuk kepentingan bersama.
"Tiada apa-apa yang salah dengan cukai pintu yang mahu dilaksanakan oleh kerajaan negeri itu kerana hasilnya adalah untuk faedah masyarakat juga. Lagipun, bukan semua orang yang kena membayar cukai pintu.
"Islam amat menggalakkan konsep saling membantu dan membayar cukai adalah salah satu caranya. Di zaman Khalifah Omar Al Khattab, mereka yang berkemampuan, membayar cukai kepada pemerintah," katanya kepada malaysiakini .
Bagaimanapun, beliau menegaskan bacaan khutbah di semua masjid itu tiada kena mengena dengan isu debat mengenai cukai pintu di antara Umno dan PAS yang sedang hangat diperkatakan di Terengganu.
Omar berkata, pihaknya belum memutuskan sama ada khutbah itu akan dibaca sekali lagi pada solat Jumaat akan datang.

