Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan mendapatkan pandangan agensi berkaitan sebelum melaksanakan aktiviti luar pada Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 2.0 berikutan cuaca panas akibat fenomena El-Nino ketika ini.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Mohd Johari Baharum berkata ia bagi memastikan kelancaran program tersebut serta kesihatan para pelatih.

"Kita akan mendapatkan khidmat nasihat dari Kementerian Kesihatan dan Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum melaksanakan sebarang aktiviti luar.

"Sekiranya keadaan cuaca terlalu panas, aktiviti luar seperti kawad kaki akan dibuat di kawasan tertutup seperti di dalam dewan," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan Surat Setuju Terima kepada 81 pengusaha Kem PLKN seluruh negara di Wisma Perwira di ibunegara semalam.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Ketua Pengarah JLKN Datuk Mohmed Asri Yusof.

PLKN siri 13/2016 akan bermula pada 26 Mac hingga 24 Mei melibatkan sebanyak 20,000 pelatih.

Kementerian Kesihatan Jumaat lepas melaporkan pihaknya menerima sebanyak 11 kes kelesuan haba dan tiga strok haba berikutan cuaca panas yang sedang melanda negara.

Di Alor Setar, dua kes melibatkan keletihan dikesan akibat cuaca panas yang dicatatkan di Kedah sejak awal Mac sehingga semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Norhizan Ismail berkata kedua-dua kes di daerah Kulim pada 20 Mac melibatkan pelajar wanita - seorang pelajar sekolah menengah berumur 15 tahun dan seorang pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) berumur 19 tahun.

"Kes pertama melibatkan pelajar tingkatan tiga yang telah menunjukkan beberapa simptom keletihan dan telah dibawa ke klinik kesihatan untuk mendapatkan rawatan.

"Pelajar terbabit dibenarkan pulang selepas menerima rawatan lanjut.

"Pelajar berumur 19 tahun pula telah dibawa ke klinik kesihatan untuk mendapatkan rawatan namun telah dirujuk ke Jabatan Kecemasan Hospital Kulim dan kini dimasukkan wad untuk pemeriksaan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, pelajar berumur 15 tahun itu telah bermain di taman permainan dalam keadaan cuaca panas manakala pelajar berumur 19 tahun mengalami keletihan semasa berada di rumah.

Norhizan berkata mangsa yang datang ke klinik telah menunjukkan simptom-simptom seperti berasa pening dan mencatatkan suhu badan yang tinggi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS