Walaupun parti Thai Rak Thai (TRT) menang besar dalam pilihanraya umum semalam untuk kekal memerintah Thailand, tetapi semua calon parti pimpinan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra itu ditolak pengundi di wilayah selatan yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Menurut laporan Bernama , TRT tewas di semua 11 kerusi parlimen di Narathiwat, Yala dan Pattani.

Pemerhati politik menyifatkan keputusan itu menggambarkan sentimen penduduk di wilayah terbabit terhadap peristiwa berdarah di Tak Bai, yang mengakibatkan kematian 78 orang Oktober lalu, masih menebal.

Dalam pilihanraya umum semalam, Parti Demokrat pimpinan Banyat Bantadtan menang 10 kerusi di wilayah ini tiga di Narathiwat, tiga di Yala, empat di Pattani manakala satu lagi kerusi di Narathiwat dimenangi calon parti Chart Thai.

Keputusan itu dipamerkan di papan kenyataan besar di hadapan bangunan pejabat Majlis Perbandaran Narathiwat.

Narathiwat menjadi perhatian kerana kedudukannya yang merangkumi kawasan pusat bandar dan Tak Bai, tempat berlakunya tragedi berdarah pada bulan puasa lalu.

Peristiwa itu terjadi apabila pasukan keselamatan bertindak menyuraikan lebih 1,000 penduduk yang mengadakan demonstrasi di Tak Bai menuntut pembebasan sekumpulan penduduk yang ditahan polis.

Dibebani banyak masalah

Dalam pilihanraya umum 2001, TRT menang enam kerusi di tiga wilayah itu dan Demokrat menang lima kerusi. Tetapi selepas pilihanraya itu, empat ahli Parlimen Demokrat melompat menyertai TRT.

Seorang penduduk, Khairuddin Ahmad menyifatkan keputusan pengundian di wilayah itu sebagai mencermin bahawa penduduk hilang keyakinan kepada kerajaan.

"Selepas kejadian itu (Tak Bai), memang kami mendiamkan diri tetapi kami menunggu sehingga tiba pilihanraya untuk menunjukkan kuasa rakyat," katanya.

Seorang guru di sebuah sekolah kerajaan di Narathiwat, Abdul Karim Daraji Saho, 35, pula mendakwa rakyat tidak puas hati dengan pemerintah kerana apa jua yang dilakukan tidak membawa manfaat kepada mereka.

"Kami dibebani dengan banyak masalah walaupun Thaksin telah memerintah empat tahun," katanya.

Beliau berkata, walaupun kerajaan telah memperkenalkan satu skim pinjaman untuk membantu penduduk berniaga tetapi jumlah yang diberikan hanya 20,000 baht.

"Itupun tempoh bayaran perlu dijelaskan dalam tempoh setahun dengan ansuran 2,000 baht sebulan,"katanya.