Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mat Sabu dilarang masuk Sarawak
Diterbitkan:  Mar 22, 2016 11:25 AM
Dikemaskini: 3:56 AM

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu hari ini dilarang memasuki Sarawak.

“Saya dihantar pulang sebaik sahaja tiba di lapangan terbang Sibu sekitar jam 10.30 pagi,” kata Mohamad Sabu kepada Malaysiakini ketika menuju masuk ke kapal terbang.

Mohamad berkata beliau tidak diberikan sebarang alasan.

“Saya juga tidak dimaklumkan saya dilarang masuk atas alasan apa,” kata Mohamad yang lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu.

Bagaimanapun, menurut Mohamad larangan tersebut dikeluarkan atas arahan pejabat ketua menteri Sarawak.

Mohamad bersama pegawai khasnya sejurus tiba di lapangan terbang ditahan ketika melalui pemeriksaan Imigresen.

Beliau berkata dalam lawatan kerja dua hari ke Sarawak sempena pilihan raya negeri (PRN) yang dijangka diadakan April depan.

Sebelum ini beberapa pemimpin pembangkang telah dihalang memasuki Sarawak atas pelbagai alasan.

Mereka adalah Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin, Pengarah Pilihan Raya PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail, anggota Parlimen Subang R Sivarasa, anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok.

Terdapat juga gesaan daripada parti negeri supaya Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut masuk ke Sarawak ekoran kenyataannya yang didakwa menghina mubaligh Kristian.

Dewan Undangan Negeri Sarawak bakal dibubarkan dalam kira-kira seminggu lagi, menurut laporan di akhbar Borneo Post semalam.

Laporan itu berasaskan kenyataan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem mengenai manifesto pilihan raya BN negeri.

Menurut akhbar itu, Adenan dilaporkan berkata manifesto berkenaan sedang disediakan dan akan "diumumkan dalam masa kira-kira seminggu".

Lihat Komen
ADS