Persatuan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) hari ini menyerahkan sumbangan RM21,050 hasil kutipan mereka kepada A Santamil Selvi, balu bekas penyiasat persendirian P Balasubramaniam.

Selvi yang terharu menerima sumbangan itu berkata, dana tersebut akan digunakan sebaik mungkin bagi menanggung kos pendidikan tiga anaknya selain ia akan turut digunakan bagi memajukan tadika miliknya.

“Terima kasih kerana bantu pelajaran anak-anak saya. Saya minta bantuan NGO buat sesuatu untuk saya. Saya ada tadika untuk dimajukan.

“Saya tak tahu siapa yang menderma kepada saya, saya ada tiga orang anak dan duit yang saya dapat akan bayar tuisyen anak-anak saya,” katanya kepada pemberita di luar kediamannya di Taman Pelangi Rawang hari ini.

Selvi pada 12 Mac lalu mendakwa "sesetengah pihak" menjanjikan pelbagai perkara kepadanya selepas kematian suaminya, termasuk memberikan bantuan pendidikan anak.

Anggota parlimen PKR Sivarasa Rasiah berkata parti itu tidak membuat sebarang janji berkaitan pendidikan anak-anaknya.

Nafi dorongan tutup mulut

Sementara itu, ditanya sama ada wang diterimanya adalah dorongan supaya menutup mulut daripada membangkitkan kembali tuduhan pada perdana menteri, Selvi menafikannya.

“Tak tak tak, ia hanya untuk bantuan pendidikan anak-anak saya sahaja. Ingat RM20,000 cukup ke nak tutup mulut saya? Cukup ke? Saya tanya awak, cukup ke RM20,000 untuk tutup mulut saya?

“Tak cukup, ia hanya pendidikan anak-anak saya,” tegasnya.

Selvi pada 12 Mac lalu meminta maaf kepada Datuk Seri Najib Razak dan anggota keluarganya kerana membayangkan mereka mempunyai kaitan dengan kematian suaminya.

Suaminya meninggal dunia pada 1 Mac 2013 akibat serangan jantung.

Katanya, beliau dihubungi pemimpin PMSP Ramesh Rao – yang menguruskan sidang media itu – bagi membantu pendidikan anak-anaknya, selepas janji-janji PKR didakwa tidak ditunaikan.

Selvi mempunyai dua anak berumur 19 dan 18 tahun.

Pemberita sebelum ini telah menghujani persoalan padanya sama ada terdapat habuan kewangan selepas beliau dilihat mengubah pendirian awal.