A Santamil Selvi, balu bekas penyiasat persendirian P Balasubramaniam hari ini mengumumkan beliau mahu menarik semula tuntutan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan tujuh yang lain selepas peguamnya Americk Singh Sidhu menarik diri daripada kes itu.

“Peguam saya, Americk telah tarik diri dari kes ini. Saya rasa saya pun tarik balik kes ini dengan rela.

"Saya buat keputusan ini dengan rela, tanpa paksaan dan hasutan,” katanya kepada pemberita di kediamannya di Taman Pelangi Rawang hari ini.

Selvi mendakwa Americk telah mencadangkan supaya memfailkan tuntutan ganti rugi dan beliau hanya mengikut sahaja nasihat peguamnya.

Selvi turut mendakwa bahawa Americk telah menawarkan diri untuk mewakilinya kerana bersimpati dan peguam itu merupakan sahabat kepada mendiang suaminya.

“Ingin saya sampaikan sepanjang tuntunan ganti rugi ini, ia adalah dicadangkan oleh peguam Americk Sidhu, saya hanya menuruti sahaja apa yang dia suruh buat.

“Americk tak pernah cerita mengenai pembayaran kepada dia. Saya hanya ingin meneruskan kehidupan saya tanpa berharap lagi dari mana-mana pihak. Saya buat sidang media ini dengan rela hati saya,” katanya.

Pada 2014, Selvi dan tiga anaknya memfailkan saman RM1.9 juta untuk ganti rugi terhadap Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, adik-beradik Najib - Datuk Ahmad Johari dan Datuk Nazim -, peguam kanan Cecil Abraham, peguam M Arulampalam dan Pesuruhjaya Sumpah Zainal Abidin Muhayat.

Saman itu dibuat atas alasan konspirasi menyebabkan Selvi dan anak-anaknya hidup dalam buangan dari 2008 hingga 2013.