Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (AMPKR) membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Selangor, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan pihak pengurusan Kuil Maha Mariamman Batu Caves kerana mendakwa berlaku penyelewengan peruntukan kerajaan negeri membabitkan RM5 juta.

Laporan polis tersebut dibuat oleh Naib Ketua Pemuda AMPKR, S.Manikavasagam di Balai Polis Selayang, Gombak jam 3.10 petang tadi, meminta polis menyiasat ketiga-tiga pihak berkenaan.

Manikavasagam mendakwa, laporan polis dibuat berdasarkan laporan media massa tempatan bahawa Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo telah meluluskan peruntukan RM5 juta akhir tahun lalu untuk memulakan pembinaan pusat agama, sejarah, seni, sejarah dan kebudayaan masyarakat India di di Batu Caves.

"Kami meminta pihak polis menyiasat bagaimana pengerusi kuil, R Nadarajah mendakwa pihaknya hanya menerima RM480,000 manakala bakinya tidak diketahui.

"Di mana wang sebanyak RM4.52 juta yang diperuntukkan oleh Kerajaan Selangor untuk pembangunan kuil tersebut," katanya dalam laporan tersebut.

Manikavasagam berkata, memandangkan ini adalah perkara yang melibatkan kepentingan awam dan peruntukan wang, kenyataan yang bercanggah daripada pihak-pihak yang berkaitan, sangat mengelirukan dan boleh dipertikaikan.

Unsur-unsur penyelewengan

Siaran Buletin Utama TV3 pada jam 8 malam pada 1, 2 dan 3 Februari lalu membuat liputan mengenai perkarangan Kuil Batu Caves yang penuh sampah sarap yang tidak dibersihkan seminggu selepas perayaan Thaipusam pada 25 Januari.

Pengerusi Kuil Batu Caves, Nadarajah dalam laporan tersebut berkata, pihaknya membelanjakan di antara RM50,000 dan RM60,000 untuk membersihkan perkarangan kuil tersebut. Setiausaha MPS, Abdullah Marjunid turut memberikan komen tentang perkara tersebut.

Manikavasagam berkata, pihaknya percaya terdapat unsur-unsur penyelewengan kerana menerima banyak rungutan orang awam dan memaklumkan hasil siasatan dengan segera.

Pada 6 Februari tahun lalu, Khir berkata Kerajaan Selangor akan membina sebuah pusat agama, sejarah, seni, sejarah dan kebudayaan masyarakat India di kawasan seluas 10 hektar di Batu Caves

Kerajaan negeri memperuntukkan RM5 juta untuk memulakan projek tersebut dengan peruntukan tahunan untuk tujuan pengurusan.

Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu pula berkata, MIC akan membina autorium kebudayaan di Pusat Kebudayaan Batu Caves sebagai sumbangan kepada masyarakat India.