Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed hari ini berkata, kementeriannya tidak bertanggungjawab berhubung larangan terhadap Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) daripada memasuki Sarawak.

Beliau memberitahu, perkara yang terjadi pada Mohamad Sabu ( gambar ) adalah bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

"Itu hak kerajaan negeri Sarawak. Kerajaan negeri berhak buat keputusan untuk membenarkan sesiapa masuk dan mengusir sesiapa keluar," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Selain itu, ketika ditanya sama ada kementeriannya mempunyai kuasa untuk menasihatkan kerajaan negeri supaya membenarkan pimpinan pembangkang masuk ke negeri itu sempena pilihan raya negeri, beliau berkata hak mutlak terletak bawah kerajaan Sarawak.

"Soalnya hak mutlak akta imigresen adalah pada kerajaan negeri Sarawak," katanya.

Mula kempen dengan 'pencemaran'

Sementara itu, seorang pemimpin AMANAH Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa ( gambar ) hari ini menyelar larangan terhadap Mohamad atau dikenali sebagai Mat Sabu.

Sehubungan itu, beliau menggesa Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem supaya memberi ruang kepada pembangkang untuk berkempen sempena pilihan raya negeri Sarawak yang dijangka diadakan pada April depan.

"Kita minta ketua menteri Sarawak ini menjadi seorang yang terbuka. Tapi beliau telah memulakan kempen pilihan raya negeri dengan pencemaran memalukan. Kita minta tarik balik semula sekatan supaya semua rakyat Malaysia dapat rasa selesa untuk bergerak dalam negara.

"Kita harap tak ada apa-apa sekatan supaya kita dapat masuk bebas untuk berkempen dan juga mempunyai hak demokrasi untuk berkempen," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Malah anggota parlimen Parit Buntar itu juga secara sinis berkata, sekiranya sekatan terhadap pemimpin pembangkang berterusan, BN sepatutnya mengisytiharkan mereka menang pada pilihan raya negeri Sarawak lebih awal.

"Kalau niat nak lakukan sekatan, apa guna berkempen kalau dari awal dah disekat. Ini permainan yang tidak adil. Kalau macam tu suruh BN isytihar mereka menang sajalah. Kami tak payah masuk," katanya lagi.

Pemimpin PAS tak dilarang

Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ( gambar ) pula memberitahu, sehingga kini tiada pemimpin daripada parti Islam itu dihalang daripada memasukki Sarawak.

"Tak ada, tak ada," katanya ringkas ketika ditanya sama ada terdapat pemimpin PAS yang dihalang untuk masuk ke Sarawak.

Sebelum ini beberapa pemimpin pembangkang telah dihalang memasuki Sarawak atas pelbagai alasan.

Mereka adalah Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin, Pengarah Pilihan Raya PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail, anggota Parlimen Subang R Sivarasa, anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok.

Terdapat juga gesaan daripada parti negeri supaya Hadi sendiri disekat ekoran kenyataannya yang didakwa menghina mubaligh Kristian.

Lihat Komen
ADS