Pembeli taman perindustrian tuntut janji Ketua Menteri
Pembeli tapak kilang Projek Taman Perindustrian Ayer Keroh yang terbengkalai sejak 16 tahun lalu kecewa kerana kerajaan negeri tidak menunaikan janjinya untuk mengambialih projek tersebut.
Pembeli tapak kilang Projek Taman Perindustrian Ayer Keroh yang terbengkalai sejak 16 tahun lalu kecewa kerana kerajaan negeri tidak menunaikan janjinya untuk mengambialih projek tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pembeli Projek Taman Perindustrian Ayer Keroh, See See Teck mendakwa mereka kerugian RM40 juta kerana masing-masing sudah membayar RM115,000 kepada pemaju.
"Seramai 785 pembeli telah membayar wang cagaran itu kepada pihak pemaju apabila projek itu mula dibina pada pertengahan tahun 1986," katanya.
Pada Mac 2002, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, kerajaan negeri akan mengambil alih projek yang terbengkalai itu sekiranya pemaju gagal meneruskannya dalam tempoh tiga bulan.
Bagaimanapun, sehingga kini Mohd Ali masih belum mengotakan janjinya untuk menyelesaikan projek terbengkalai itu.
Projek itu dikendalikan Syarikat Pakatan Mawar Sdn Bhd yang dimiliki Pengerusi Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd, Dato' Mohd Taufik Abdullah dan isterinya, Datin Rashidah Pakeh Amin.
Bagaimanapun, Exco Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Melaka, Datuk Ahmad Hamzah ketika dihubungi berkata projek tersebut bukan lagi di bawah tanggungjawab Kerajaan Melaka kerana ia dimajukan oleh swasta.
Projek swasta
Bagaimanapun, katanya sejak beberapa tahun lalu, projek tersebut diambilalih oleh Danaharta berikutan masalah kewangan yang berlaku dalam syarikat tersebut.
"Berikutan itu pembeli tidak boleh menyalahkan kerajaan negeri ekoran Projek Taman Perindustrian Ayer Keroh terbengkalai kerana ia adalah projek swasta.
"Namun, kerajaan negeri sedang meneliti perkembangan projek tersebut kerana ia dimajukan adalah untuk pembangunan perindustrian Melaka," katanya ketika mengulas laporan bahawa Projek Taman Perindustrian Ayer Keroh terbengkalai sejak 1988
Ahmad berkata, bagaimanapun, pihaknya sedia membantu Danaharta jika mereka memerlukan pertolongan kerajaan negeri.
Baru-baru ini, sekumpulan pembeli projek berkenaan menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badwi memintanya supaya membantu menyelesaikan masalah tersebut.Kata See Teck, mengikut perjanjian jual-beli, pemaju mesti menyerahkan kilang yang telah siap kepada pembeli selewat-lewatnya akhir tahun 2000.
See Teck berkata, projek bernilai RM100 juta itu telah terbengkalai sejak pertengahan tahun 1988 sungguhpun hampir 90 peratus siap.
Tanggung beban
Pembeli juga telah beberapa kali mengadakan mesyuarat dengan Mohd Taufik dalam tempoh lima tahun lalu bagi membincangkan isu terbengkalai itu.
Bagaimanapun, sehingga kini tidak ada sebarang usaha dijalankan untuk menyegerakan kerja-kerja pemulihan semula projek terbengkalai tersebut.
"Memandangkan syarikat pemaju dimiliki Mohd Taufek dan isteri, tidak ada sebab mengapa Mohd Taufek tidak boleh mengeluarkan RM2 juta kepada MBSB setelah pemaju mengutip RM40 juta daripada pembeli.
"Pembeli amat marah kerana wang hasil titik peluh 'dikebas' malah pembeli mengalami kerugian besar beratus ribu ringgit antaranya kerugian wang pendahuluan pembelian yang sehingga kini tidakpun dipulangkan semula pihak pemaju," tambahnya.
Selain itu kata See Teck, pembeli juga dikenakan wang faedah untuk pinjaman yang dibuat dari bank untuk membeli lot kilang di kawasan tersebut. Pembeli juga dibebani wang sewa bulanan untuk menyewa premis perniagaan di kawasan lain bagi meneruskan aktiviti perniagaan.
Pihak pembeli juga dilaporkan telah membuat laporan polis sekitar dua tahun lalu.

