Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak melahirkan rasa kecewanya dalam kes penyelewengan membabitkan rasuah lebih RM100 juta oleh pegawai kanan kerajaan di Kementerian Belia dan Sukan dan berikrar tindakan tegas menanti mereka yang terbabit.

“Saya memandang berat kes penyelewengan melibatkan pegawai kanan kerajaan di Kementerian Belia dan Sukan yang kini dalam siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Kes ini amat mengecewakan kerana ia berlaku sejak beberapa tahun lalu tanpa dikesan,” katanya dalam tulisan di blog hari ini.

Najib berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terbabit.

“Kerajaan tidak akan sama sekali berkompromi dalam sebarang kes penyelewengan dana kerajaan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terbabit,” katanya.

Beliau turut menggesa semua kementerian dan agensi kerajaan supaya sentiasa memantau setiap perbelanjaan bajet yang telah diperuntukkan pada tahap ketelusan dan akauntabiliti yang tertinggi.

Dalam kes membabitkan Kementerian Belia dan Sukan, Najib berkata siasatan menyeluruh perlu dijalankan dengan serta-merta dan kes ini akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk nasihat dan tindakan undang-undang.

“Jabatan Audit Negara juga akan mengkaji dan memperketatkan lagi prosedur berkaitan tatacara pengurusan kewangan kerajaan.,” katanya.

Najib juga mengarahkan kes itu dipaparkan dalam Auditor General’s Dashboard di laman web https://agdashboard.audit.gov.my bagi tatapan umum bagi membolehkan orang ramai untuk memantau tindakan susulan kerajaan berhubung kes itu.