Letupan Brussels peringatan perlunya banteras keganasan
Insiden letupan bom di Brussels, Belgium menjadi peringatan kepada rakyat negara ini dan seluruh dunia bahawa keganasan tidak akan berakhir selagi tidak berusaha bersungguh-sungguh membanterasnya, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga adalah menteri dalam negeri berkata, walaupun dalang insiden itu masih belum dikenal pasti namun dipercayai adalah angkara pengganas.
"Apa yang berlaku mengingatkan kita terhadap kejadian serupa yang menimpa Paris, Jakarta, Turki dan beberapa tempat lain, yang kita percayai adalah angkara pengganas," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Ahmad Zahid turut merakamkan rasa simpati terhadap mangsa dan keluarga mangsa yang terbabit dalam serangan itu.
"Kita sentiasa bersama-sama dengan masyarakat di Belgium dan menyokong sebarang tindakan yang bakal diambil bagi mencari mereka yang bertanggungjawab terhadap insiden berkenaan, sekali gus menghadapkan mereka ke muka pengadilan," katanya.
Tiada rakyat Malaysia terbabit
Wisma Putra, dalam satu kenyataan hari ini, menyatakan kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya insiden letupan bom yang berlaku di Brussels yang telah meragut 28 nyawa.
Kenyataan itu juga menyebut tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam kejadian letupan bom itu.
Bagaimanapun Kedutaan Besar Malaysia di Brussels akan terus memantau situasi semasa.
Menurut Wisma Putra, kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya letupan bom yang meragut 28 nyawa yang tidak berdosa.
"Di saat yang amat sedih ini, Malaysia berdiri bersatu dengan keluarga mangsa, kerajaan dan rakyat Belgium," menurut kenyataan itu.
Media tempatan di Belgium melaporkan letupan berkenaan berlaku di Lapangan Terbang Brussels dan stesen kereta api metro.

