Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) mempertahankan sistem kad pendaftarannya dengan menunjukkan bahawa kad berkenaan berkualiti tinggi dan mempunyai langkah-langkah keselamatan yang ketat dan tidak mudah ditiru.

Ini berikutan kritikan terhadap UNHCR oleh pegawai-pegawai kerajaan berkaitan dakwaan salah urus dan salahguna sistem kad pendaftarannya, dengan kad UNHCR palsu boleh diperolehi dengan harga serendah AS$30.

Wakil UNHCR bagi Malaysia, Richard Towle, berkata kerajaan Malaysia seolah-olah telah salah faham terhadap peranan UNHCR di negara ini.

"Peranan kami di sini diberi oleh PBB, di mana Malaysia adalah antara anggotanya.

"Biar kami jelas bahawa Malaysia adalah sebahagian daripada PBB - dan PBB telah diberi tanggungjawab untuk membantu mengambil pelarian di mana negara-negara merasa mereka tidak boleh melakukannya sendiri.

"Kami berada di sini untuk membantu Malaysia menangani masalah pelarian, kami bukan menggantikan tanggungjawab Malaysia untuk menangani pelarian," kata Towle seperti yang dilaporkan oleh Channel News Asia.

Semalam, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed (gambar) berkata, pihak berkuasa imigresen pun mempunyai kesukaran membezakan antara kad UNHCR palsu dan yang tulen.

Bbagaimanapun, Towle berkata prosedur mereka untuk pelarian tulen mempunyai ciri-ciri keselamatan yang sangat ketat dan kad tersebut berkualiti tinggi dan tidak boleh ditiru.

"Kami berpuas hati bahawa prosedur kami untuk pelarian tulen dengan ciri-ciri keselamatan yang sangat ketat. Terdapat ujian yang ketat dan kami menghasilkan kad berkualiti tinggi yang tidak boleh ditiru - Kami boleh membezakan antara kad sebenar dan kad palsu," katanya.

Oleh itu, UNHCR akan bekerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia berhubung perkara itu, kata Towle.

Kerajaan juga mahu UNHCR menempatkan pemohon suaka berdaftar dan pelarian di negara-negara yang menandatangani Konvensyen 1951 Bangsa-Bangsa Bersatu Berkaitan Status Pelarian bagi mengurangkan risiko keselamatan dan bilangan pendatang di Malaysia.

Towle menegaskan UNHCR telah menempatkan semula lebih 100,000 orang dalam tempoh 10 tahun yang lalu, tetapi menambah bahawa penempatan semula bukan pilihan untuk semua orang.

UNHCR mahu kerajaan mempertimbang memberi kepada mereka yang masih berada di sini, akses kepada hak asasi, seperti hak untuk bekerja.

Nur Jazlan berkata kerajaan sedang meneliti ke arah itu, melalui program perintis yang dilancarkan pada Disember tahun lepas.

[Baca berita penuh]