Jangan bandingkan web lucah dengan TMI, kata peguam
Laman web seperti The Malaysian Insider ( TMI ) dan laman web lucah tidak boleh dibandingkan bersama kerana ia adalah perkara berbeza, kata peguam Syahredzan Johan.
"Laman web lucah dan laman web seperti The Malaysian Insider tidak sama.
"Adalah salah untuk sekaligus melonggokkan kedua-duanya bersama," kata Syahredzan dalam catatan di Facebook malam semalam.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak yang mempersoalkan bagaimana kerajaan mahu menyekat laman web lucah jika terpaksa menunggu untuk mendakwa mereka di mahkamah yang merujuk kepada sekatan ke atas TMI .
Syahredzan juga berkata kuasa tertentu boleh diwujudkan supaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) boleh enyekat laman web lucah, tetapi mengingatkan bahawa kuasa itu harus mempunyai had dan khusus.
Bukan itu sahaja, peguam itu berkata kuasa berkenaan juga boleh melalui semakan kehakimanyang memerlukan SKMM ke mahkamah untuk mendapatkan perintah menyekat laman web lucah.
"Mahkamah mesti berpuas hati bahawa laman web itu sememangnya mempunyai kandungan lucah," katanya.
Memberi SKMM kuasa luas dan sewenang-wenangnya untuk menghalang mana-mana laman web yang dianggap 'tidak diingini' boleh membawa kepada penyalahgunaan, katanya.

