SKMM sekat 399 laman web hingga Feb 2016
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyekat 399 laman web dan menyiasat 22 daripada mereka sehingga Februari 2016.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, siasatan mendapati ada di antara laman web itu yang menyalahgunakan internet dan media baru.
"Antara laman-laman web yang disekat termasuk laman-laman web perjudian, penipuan, pelacuran serta laman-laman web yang memaparkan kandungan lucah, jelik, palsu dan sebagainya,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen semalam.
Salleh semalam menjelaskan di Dewan Rakyat bahawa SKMM diberi kuasa untuk menyekat laman web mengikut Seksyen 233 Akta SKMM.
Beliau juga menolak cadangan Hanipa Maidin (Amanah-Sepang) supaya laman web seperti The Malaysian Insider yang kini telah ditutup hanya disekat selepas dibawa ke mahkamah.

