Kesatuan sekerja syarikat Box Pak mahu menteri campurtangan
Pekerja Box Pak Malaysia Berhad, yang menjadi ahli kesatuan sekerja, telah membawa isu kegagalan rundingan mereka dengan pihak majikan untuk mencari penyelesaian terhadap isu-isu tertunggak, kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr Fong Chan onn.
Pekerja Box Pak Malaysia Berhad, yang menjadi ahli kesatuan sekerja, telah membawa isu kegagalan rundingan mereka dengan pihak majikan untuk mencari penyelesaian terhadap isu-isu tertunggak, kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr Fong Chan onn.
Kesatuan sekerja tersebut telah menghantar memorandum mengenainya kepada Dr Fong pada 3 Februari lalu, tetapi sehingga ini belum menerima sebarang jawapan daripada menteri tersebut.
Kira-kira 60 pekerja terbabit telah mengemukakan memorandum itu dan diikuti dengan perjumpaan ringkas di kementerian itu di Putrajaya.
Bekas setiausaha kesatuan tersebut, Rani Veriah yang telah dipecat kerana didakwa melanggar peraturan syarikat berkata ahli-ahli kesatuan itu mahu Dr Fong meneliti masalah mereka, termasuk kegagalan dalam rundingan untuk memeteraikan perjanjian bersama yang baru.
"Kami telah mengadakan piket selama lima hari di luar kawasan kilang, tetapi tidak adalah sebarang perubahan dalam amalan tidak adil di pihak syarikat. Kini kami mahu kerajaan, khususnya menteri berkenaan, supaya meneliti masalah kami ini," katanya.
Memorandum tersebut diterima oleh pegawai Jabatan Perhubungan Industri. Pegawai berkenaan juga memberi jaminan kepada pekerja syarikat itu bahawa pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan pekerja dan syarikat Box Pak pada 17 Februari di Putrajaya.
Kesatuan tersebut yang mempunyai kira-kira 100 ahli, mendakwa bahawa mereka tidak dibayar bonus untuk tahun lalu, sertai tidak mendapat kenaikan gaji pada tahun ini.
Kesatuan tersebut turut mendapat sokongan badan induk, Kesatuan Sekerja Kebangsaan bagi Pekerja Pengeluaran Kertas dan Produk Kertas, serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Hilang kepercayaan
Aktivis sosial, S Arutchelvan, berkata pekerja terbabit bertindak sedemikian kerana sudah hilang kepercayaan kepada pihak majikan.
"Pihak kementerian mesti campurtangan dalam kes ini. Kakitangan terbabit telah menerima faedah itu (selama ini). Ianya telah diberhentikan apabila kesatuan tersebut mendapat pengiktirafan rasmi," katanya.
Beliau mendakwa ahli-ahli kesatuan itu menerima ugutan dan oleh itu, menggesa pihak kementerian supaya mengarahkan syarikat itu berhenti menganggu mereka dan membawa kedua-dua pihak ke meja perundingan.
Kesatuan tersebut yang ditubuh dan didaftarkan pada bulan Jun 2002, memperolehi kuasa mengadakan rundingan dengan pihak majikan pada tahun lalu apabila keahliannya melebihi separuh daripada jumlah pekerja syarikat tersebut.
Syarikat berkenaan yang mengeluarkan kertas dan produk kertas dan terletak di Batu Caves, Selangor sebelum ini telah mengatakan bahawa masalah kewangan menyebabkan pihaknya tidak dapat membayar dua bulan bonus serta memberi kenaikan gaji.
Difahamkan tawaran pihak syarikat untuk memberi satu bulan bonus kepada semua kakitangannya, hanya diterima oleh kakitangan pengurusan dan eksekutifnya.

