Sekumpulan Orang Kelainan Upaya (OKU) hari ini hadir ke Parlimen bagi menyerahkan memorandum kepada perdana menteri bagi menggesa kerajaan mengecualikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada golongan itu.

Selain itu, kumpulan 30 orang daripada NGO Badan Latihan dan Hidup Berdikari Malaysia (ILTC) itu juga ingin menyerahkan memorandum tersebut kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Sebelum itu, mereka berkumpul di luar bangunan Parlimen kira-kira pada jam 10 pagi dan turut membawa plakad antaranya bertulis “Jangan diskriminasi warga OKU” dan “Kami tertindas GST”.

Pada kira-kira jam 10.40 pagi, anggota parlimen Klang Charles Santiago bersama anggota parlimen Selayang William Leong Jee Keen kemudian tiba dan membawa kira-kira lapan orang wakil daripada kumpulan tersebut masuk ke Parlimen.

Selepas itu, memorandum tersebut kemudian diserahkan kepada Wan Azizah. Turut hadir bersama ialah Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Naib Presiden PAS Idris Ahmad dan serta Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Datuk Seri G Palanivel pula menerima memorandum tersebut sebagai wakil daripada Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC).

Antara kandungan memorandum tersebut meminta supaya kerajaan memberikan pengecualian GST terhadap warga OKU dengan menyediakan kad khas kepada mereka untuk membeli barangan.

Presiden ILTC G Francis Siva pula berkata, ramai warga OKU tidak mempunyai pendapatan yang tetap serta tidak berkemampuan.

"Tahun lepas dah laksana GST, sekarang nampaknya ia memberi tekanan yang kuat pada PKU hari ini kerana ada yang tidak mampu untuk membeli makanan, lampin pakai buang, kantung air kencing.

"Jadi kita minta supaya kerajaan kecualikan GST kepada OKU di Malaysia. Jika tidak OKU akan menderita," katanya ketika ditemui pemberita.

Cukai GST pada kadar enam peratus dilaksanakan pada 1 April tahun lalu. Ia sebagai pengganti cukai jualan 10 peratus dan enam peratus cukai jualan dan perkhidmatan.