Projek Lebuh Raya Damansara- Shah Alam (DASH) dijangka akan memulakan kerja-kerja pembinaan pada Ogos ini, kata menteri kerja raya.

Ia sekarang masih dalam peringkat reka bentuk terperinci.

Manakala tender prakelayakan untuk pemilihan kontraktor pula masih sedang dinilai oleh pemegang konsesi.

Menurut jawapan bertulis menteri di parlimen, sehingga kini kerajaan Selangor telah meluluskan pengambilan tanah bawah Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960 yang diwartakan pada 23 Julai 2015.

Jelasnya pelaksanaan projek ini melibatkan kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Kata kementerian itu lagi, sesi pendengaran awam dari pihak MBSA dan MBPJ telah diadakan kepada orang awam.

“Pada masa kini kementerian ini masih menunggu pewartaan MBPJ untuk projek ini dimasukkan dalam Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2.

“Berdasarkan perancangan jika tiada halangan projek DASH ini akan memulakan kerja-kerja pembinaan pada bulan Ogos 2016 ini,” katanya yang menjawab soalan dari Tanjong Karang (BN) Datuk Seri Noh Omar.

Noh meminta kementerian itu menyatakan status terkini projek Lebuhraya DASH dan adakah terdapat sebarang kekangan dari kerajaan Selangor.

Kerajaan Selangor tahun lalu diselar pemimpin Umno sebagai tidak menunaikan janji pemansuhan tol apabila meluluskan pembinaan lebuh raya baru, termasuk Dash.

Azmin bagaimanapun berkata ia tidak diluluskan ketika beliau menjawat jawatan menteri besar.