Seramai 791,239 pembayar cukai pendapatan individu dan 65,545 pembayar cukai pendapatan syarikat belum menjelaskan sepenuhnya cukai pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sehingga 31 Disember lepas, menurut Kementerian Kewangan.

Kementerian itu dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat berkata ia melibatkan jumlah kira-kira RM8.2 bilion.

Kementerian Kewangan berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) mengenai jumlah individu dan syarikat yang belum menjelaskan cukai pendapatan kepada kerajaan serta nilai terlibat.

Marcus juga ingin tahu jumlah individu dan syarikat yang membayar cukai terlebih kepada kerajaan serta nilai terlibat.

Menurut Kementerian Kewangan, bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2015, sejumlah 943,872 pembayar cukai pendapatan individu dan 19,309 pembayar cukai pendapatan syarikat terlebih bayar cukai mereka.

"Amaun cukai terlibat adalah RM11.8 bilion," kata kementerian itu.

Menurut kementerian itu, LHDN memproses bayaran balik mengikut tempoh ditetapkan dengan syarat borang penyata cukai pendapatan yang diterima lengkap dan teratur.

"Kaedah lain adalah dengan cara pengeluaran cek dan deraf bank serta membenarkan pembayar cukai yang terlebih bayar bagi suatu tahun taksiran semasa untuk memohon kredit semasa di dalam lejar bayaran cukai digunakan untuk menjelaskan tanggungan cukai bagi tahun taksiran berikutnya," kata kementerian itu.

- Bernama