'Ahli Badan Peguam nak berpolitik buat parti sendiri'
Anggota Badan Peguam Malaysia yang terlibat secara aktif dalam politik negara disaran keluar dari badan itu selain menubuhkan partinya sendiri daripada campur tangan dalam pentadbiran negara.
Pandangan itu disampaikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UKM, Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal.
Beliau berkata demikian ketika sesi soal-jawab dalam forum bertajuk 'Keganasan Persepsi Cabaran Terhadap Perpaduan Ummah' di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi hari ini.
"Mereka (peguam) yang nak terlibat dalam politik, komen isu (semasa), (disaran) keluar dan buat parti sendiri," kata pensyarah undang-undang UKM itu.
Bar Malaysia sebelum ini memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali untuk tidak meneruskan dakwaan terhadap perdana menteri dalam isu derma RM2.6 bilion dan RM42 juta wang SRC International yang dimasukkan ke akaun peribadinya.
Badan itu turut meluluskan usul menggesa Apandi meletakkan jawatan pada mesyuarat agung Majlis Peguam yang dihadiri lebih 1,400 peguam.
Bagaimanapun tindakan itu mendapat kecaman dari Persatuan Pegawai-pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (JALSOA).
Jawatankuasa Eksekutif JALSOA dilaporkan sebagai berkata, tindakan itu dilihat mempertikaikan proses perundangan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Mengulas lanjut Aziah berkata Bar Malaysia juga seharusnya kembali kepada peranan asasnya selaku badan yang menjaga soal peguam di Malaysia, bukannya sibuk campur tangan dalam isu politik dan kerajaan.
Tak boleh campur politik
Kata Aziah, tindakan itu perlu bagi mengelakkan Bar Malaysia Peguam dilihat sebagai badan yang berpihak kepada satu-satu pihak sahaja atau mencampuri urusan politik.
"Bar Malaysia adalah badan yang memberikan lesen kepada mereka yang ingin jadi pengamal undang-undang. Jadi mereka perlu jaga integriti.
"Anak-anak kita yang ingin menjadi peguam perlu mendapat lesen dari Bar Malaysia. Malah mereka yang sudah menjadi peguambela atau peguam cara juga perlu lesen dari mereka untuk menandatangani surat misalnya.
"Apabila Bar Malaysia membuat penilaian tertentu (dalam memberi kelulusan), bagi saya ia tidak boleh masuk campur dalam politik," katanya lagi.
Sementara itu, mengulas soal badan kehakiman yang dilihat tidak bebas, beliau berkata persepsi tersebut tercetus selepas pemecatan Tun Salleh Abas sebagai Ketua Hakim Negara ketika krisis perlembagaan 1988.
"Namun sekarang sudah ada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman. Perdana Menteri hanya menasihati Yang di-Pertuan Agong selepas suruhanjaya mengemukakan cadangan.
"Ini bermakna hakim tidak boleh dilantik begitu sahaja, ada integritinya. Inilah yang perlu diterangkan," katanya lagi.

