Speaker, menteri terus burukkan media baru
Speaker Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang mendakwa media baru seperti blog, video, Instagram, Facebook, Twitter dan portal-portal berita atas talian hari ini banyak disalah guna.
Abu Zahar ( gambar ) mendakwa, penyalahgunaan ini berlaku apabila pengendali medium itu lebih cenderung menyebarkan cerita tidak tepat, melaga-lagakan dan memecah belah perpaduan rakyat.
"Hari ini media baru seperti blog, video, Instagram, Facebook, Twitter, portal-portal yang banyak disalah guna, menaruh cerita yang melaga-melagakan dan memecahbelahkan perpaduan sesama kita.
"Perkara ini jangan dipandang remeh, kerana kalau kita masyarakat majmuk di Malaysia, tidak tahu memikirkan nasib anak bangsa dalam masyarakat, ini boleh memusnahkan negara kita," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penutupnya pada program Bicara Persada ke-29 anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertajuk “Persepsi Cabaran Terhadap Perpaduan Ummah” di Bangi hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membidas apa yang disifatkannya amalan tidak sihat kewartawanan dan melonggokkan portal berita bersama-sama dengan tentera siber dan hulubalang papan kekunci.
Katanya, kemajuan Internet dan media sosial hari ini mengakibatkan banyak penyelewengan termasuk mengapi-apikan perkauman atau sikap tidak bertoleransi terhadap agama.
Keganasan persepsi
Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dalam majlis yang sama berkata Malaysia berdepan bencana “keganasan persepsi” yang boleh membawa kepada perpecahan ummah, sekali gus menggugat kestabilan dan keselamatan negara.
Menurut Salleh (
gambar
), keganasan itu berlaku disebabkan penyalahgunaan Internet dan media sosial.
Program tersebut turut membariskan beberapa ahli panel antaranya Menteri di Jabatan Perdana Memteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Khairuddin Aman Razali dan Setiausaha Majlis Perundingan Melayu Datuk Dr Hassan Mad.
Program tersebut juga sepatutnya dihadiri Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din. Namun beliau tidak dapat menyertai majlis itu kerana dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN).
Manakala, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global Nasharuddin Mat Isa sebagai moderator.

