Syarikat minyak Petronas akan terus menderita disebabkan oleh penurunan harga minyak mentah, kata Naib Presiden Moody's Investors Service.

Pegawai kredit kanan di agensi penarafan kredit itu, Vikas Halan berkata harga minyak dijangka kekal antara 30 hingga 40 dollar setong dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Syarikat-syarikat dengan pendapatan yang terikat kepada harga minyak mentah itu akan paling terjejas, katanya dalam satu meja bulat bersama wartawan di Kuala Lumpur hari ini.

"Petronas adalah salah satu syarikat yang akan paling terjejas oleh penurunan harga minyak mentah," katanya.

Bagaimanapun, walaupun selepas penurunan unjuran, Vikas berkata penarafan Petronas kekal pada tahap yang berdaulat.

"Dan kami mengesahkan penarafan dengan tinjauan stabil," katanya.

Mengulas lanjut mengenai penurunan harga minyak, Vikas berkata ia disebabkan berlaku lebihan penawaran.

Pada masa ini, pengeluaran minyak seluruh dunia melebihi penggunaan sebanyak 1.5 juta tong sehari dan ini juga tidak termasuk tambahan inventori 1.5 juta tong berlebihan, katanya.

Pergerakan harga minyak memerlukan beberapa perubahan struktur seperti membekukan pengeluaran dari Rusia dan Arab Saudi, kata Vikas.

"Sehingga itu berlaku, saya tidak melihat bahawa harga akan pulih secara mampan, kerana ada terlalu banyak bekalan dan ketidaktentuan,"katanya.

Dalam usaha untuk terus bertahan dalam keadaan harga minyak mentah yang rendah, Petronas awal bulan ini mengumumkan bahawa ia akan membuang 'kurang 1000' daripada pekerjanya di bawah penstrukturan semula.

Firma itu menerima kesan kejatuhan harga minyak, yang jatuh ke paras paling rendah sejak Januari 2003.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai perubahan penasihat Petronas, Vikas berkata Moody's masih belum melihat sebarang kesan kepada syarikat gergasi minyak itu.

"Pada masa ini, ia (Petronas) melakukan apa yang syarikat-syarikat minyak dan gas harus lakukan - mengurangkan aliran keluar tunai.

"(Apabila anda bercakap tentang) penasihat; ia adalah syarikat yang terlalu besar untuk dinasihati oleh cuma seorang penasihat," katanya.

Kabinet baru-baru menamatkan khidmat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat Petronas, jawatan yang disandang sejak bersara sebagai perdana menteri pada tahun 2003.

Pejabat Perdana Menteri berkata Mahathir tidak lagi memegang jawatan dalam mana-mana entiti berkaitan kerajaan kerana telah melepaskan sokongan kepada kerajaan sedia ada.