Rafizi persoal tambahan RM2.28b untuk perbelanjaan pencen
Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli hari ini mempersoalkan mengapa kerajaan memohon bajet tambahan RM2.28 bilion untuk menampung perbelanjaan pencen dan faedah.
Selain daripada peruntukan RM3.3 bilion bagi tambahan bajet yang dibentangkan semalam, kerajaan juga membuat tuntutan RM2.29 juta untuk perbelanjaan tetap dan RM391 juta untuk perbelanjaan pembangunan.
Daripada RM2.29 bilion untuk perbelanjaan tetap, RM2.28 bilion diperuntukkan untuk bayaran pencen, elaun dan faedah.
Rafizi berkata ini adalah ganjil, kerana ia tidak sepatutnya berlaku kecuali jika Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP menghadapi masalah kewangan.
"Kerajaan Persekutuan perlu menyuntik dana baru jika kedudukan kewangan KWAP dianggap tidak mencukupi untuk membayar pencen kepada pegawai-pegawai kerajaan pada masa akan datang," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Rafizi berkata, berdasarkan pemerhatiannya daripada laporan KWAP bagi tahun kewangan 2014, kumpulan itu mencatatkan prestasi lebih teruk berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Oleh itu, beliau berkata, disebabkan persekitaran pelaburan yang tidak memberangsangkan pada 2015, beliau menjangka prestasi KWAP akan lebih teruk pada tahun lalu.
"Pada masa yang sama, KWAP telah dikaitkan dengan kontroversi 1MDB, termasuk memberi pinjaman RM4 bilion kepada SRC International," katanya.
Rafizi berkata beliau akan menulis kepada KWAP untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci supaya beliau boleh menganalisis kedudukan kewangan mereka dengan tepat.

