Ada yang tak tahu pelepasan GST untuk OKU, kata Rohani
Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, Orang Kelainan Upaya (OKU) boleh mendapat pengecualian dari dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Bagaimanapun ia hanya meliputi pembelian barangan alat bantuan mereka seperti alat sokongan, kerusi roda, tongkat, kasut dan alat bantuan pendengaran seperti termaktub di bawah Butiran 7 Perintah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (Pelepasan) 2014.
Jelasnya, OKU boleh mendapatkan pelepasan tersebut melalui NGO yang berdaftar.
“Akta GST 2015 memperuntukkan tentang pelepasan GST tetapi ada yang tidak mengetahuinya.
“Oleh itu, peniaga perlu peka tentang perkara ini dengan memberikan pelepasan sekiranya ada NGO berdaftar yang mengemukakan borang berkenaan ketika membeli peralatan terbabit.
“Pelbagai inisiatif telah diambil oleh kerajaan dan sentiasa meneliti keperluan-keperluan lain untuk terus memberi kemudahan kepada OKU dalam isu ini,” kata Rohani dalam kenyataannya hari ini.
Kenyataan itu dibuat susulan sekumpulan OKU hadir ke parlimen hari ini bagi menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi menggesa kerajaan mengecualikan GST kepada golongan itu.
Selain itu, kumpulan 30 orang daripada NGO Badan Latihan dan Hidup Berdikari Malaysia (ILTC) itu turut menyerahkan memorandum tersebut kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Datuk Seri G Palanivel pula menerima memorandum tersebut sebagai wakil daripada Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC).
Sebelum itu, mereka berkumpul di luar bangunan Parlimen kira-kira pada jam 10 pagi dan turut membawa plakad antaranya bertulis “Jangan diskriminasi warga OKU” dan “Kami tertindas GST”.

