Datang ke pejabat kami percepatkan siasatan - SPRM
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambut baik ikrar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng untuk memberi kerjasama sepenuhnya berhubung siasatan mengenai pembelian sebuah banglo miliknya.
Mengulas gesaan Lim supaya siasatan dipercepatkan, suruhanjaya itu berkata dalam usaha untuk berbuat demikian, ketua menteri boleh datang ke pejabat SPRM bagi memudahkan siasatan.
Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki berkata pihaknya telah memanggil beberapa saksi dan mengambil beberapa dokumen berkaitan.
Menurutnya, SPRM menerima banyak pertanyaan berhubung bila kenyataan Lim akan dirakamkan.
“Keterangan Lim akan diambil apabila keterangan daripada saksi-saksi diperoleh, dan ia juga bergantung kepada keadaan selepas dokumen-dokumen yang diperoleh diteliti dan keterangan saksi diambil.
“Walau bagaimanapun, berhubung kesediaan Lim untuk memberi kerjasama kepada SPRM dan mahu siasatan disegerakan, beliau boleh datang ke Pejabat SPRM pada bila-bila masa untuk membantu siasatan," katanya.
Pengarah siasatan itu berikrar bahawa SPRM akan menyiasat kes berkenaan secara bebas dan telus.
Lim menjadi perhatian apabila seorang pemimpin Umno mendedahkan bahawa pemimpin DAP itu membeli sebuah banglo di Jalan Pinhorn, Pulau Pinang pada harga RM2.8 juta yang dianggap di bawah harga pasaran.

