Umno Terengganu sudah sedia untuk berdebat dengan PAS mengenai isu cukai pintu di Terengganu dan mencadangkan ia diadakan pada hari Ahad 13 Mac ini.

Ketua Penerangan Umno Terengganu, Ahmad Shabery Chik berkata, pihaknya telah menemui wakil PAS Ahad lalu bagi membincangkan lebih lanjut mengenai debat tersebut.

Katanya, Setiausaha Umno Bahagian Kemaman, Zahari Said telah menemui Ketua Penerangan PAS Terengganu, Yahya Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam, Abdul Wahid Endut Ahad lalu untuk membincangkan perkara tersebut.

"Wakil kita mencadangkan debat itu diadakan pada hari Ahad 13 Mac bertempat di Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu jam 9 malam," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, format debat itu sama seperti debat calon Presiden Amerika Syarikat, dengan masing-masing dua wakil dari PAS dan Umno, duduk di atas pentas dan dua penyoal yang mewakili kedua-dua parti itu, bebas bertanya kepada para pendebat.

Umno akan memilih wakil penyoal mereka, begitu juga dengan PAS. Wakil penyoal pula bebas mengumpul soalan dari rakan-rakan mereka.

Bawa penyokong

Bagaimanapun, menurut Ahmad Shabery, PAS belum memberi kata-putus terhadap cadangan yang dikemukakan oleh wakil Umno itu.

Beliau berkata, Umno dan PAS masing-masing membawa 500 penyokong masuk ke dalam dewan, manakala orang ramai yang berada di luar dewan, boleh menyaksikannya melalui televisyen litar tutup yang dipasang di situ.

"Kita juga akan mendapatkan kerjasama pasukan keselamatan untuk mengawal keselamatan orang ramai yang menghadiri majlis debat tersebut.

Sebelum ini Yahya mendakwa Ahmad Shabery sengaja mencari jalan untuk melengah-lengahkan debat sebagai satu helah untuk membatalkan debat antara kedua parti itu berhubung isu kutipan cukai pintu.

Pada mulanya PAS mahu mengadakan debat tersebut bulan bulan ini tetapi Ahmad Shabery memberi alasan bahawa pihaknya sibuk berikutan perayaan Tahun Baru Cina serta Konvensyen Umno Terengganu.

Isu debat berhubung cukai pintu itu tercetus apabila Ahmad Shabery mencabar PAS berdebat kerana mendakwa parti itu tidak memansuhkan cukai pintu sewaktu memerintah Terenggganu, tetapi sebaliknya hanya tidak membuat kutipan untuk memenuhi janji pilihanrayanya.

Kesempatan

Sehubungan itu, Yahya berkata, PAS Terengganu sedia menggunakan orang tengah untuk membantu memastikan debat dengan Umno mengenai isu cukai pintu berjaya diadakan.

Malah katanya, jika Umno mahu menukar debat kepada forum, PAS sedia menerimanya kerana PAS ingin membersihkan namanya selepas dituduh oleh Umno, menggunakan isu cukai pintu untuk kepentingan politik.

"Wakil Umno pada debat tersebut ialah Ahmad Shabery dan Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Ahmad Said. PAS pula dijangka menampilkan Yahya dan Abdul Wahid meskipun Ahmad Shabery mencadangkan bekas Exco. Datuk Wan Abdul Mutalib Embong.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan Ahli Parlimen Kemaman itu supaya tidak mengambil kesempatan daripada isu debat itu untuk mendapatkan `kepentingan politik' peribadi.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh juga pernah mengatakan PAS sengaja membesar-besarkan isu cukai pintu tersebut dan tidak ikhlas untuk berdebat.

Beliau mendakwa pemimpin PAS sengaja menggembar-gemburkan cadangan itu bagi kepentingan politik mereka, bukannya untuk memperjuangkan kepentingan rakyat.

Malah, katanya, pemimpin PAS ikhlas untuk berdebat mengenai isu cukai pintu kerana semua wakil rakyat mereka tidak hadir semasa pemimpin kerajaan menggulung hujah perbahasan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.