Penggunaan perkataan "bohong" mencetuskan perang mulut selama sejam di parlimen malam ini, yang berakhir dengan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) diarah keluar dewan.

Kekecohan bermula apabila Lim menuntut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan menarik balik satu kenyataan yang dibuat minggu lepas, yang menuduhnya berbohong.

Rahman bagaimanapun, mempertahankan dirinya dengan mengatakan beliau bermaksud kenyataan Lim mengenai kadar rumah mampu milik berharga RM400,000 ditetapkan oleh kerajaan pusat sebagai satu pembohongan.

Timbalan speaker Datuk Ismail Mohamad Said bersetuju dengan Rahman dan mengatakan bahawa perkataan "bohong" tidak ditujukan kepada Lim.

Ia menyebabkan perang mulut selama sejam dalam dewan, dengan Lim menegaskan bahawa perkataan "bohong" adalah tidak berparlimen dan Rahman harus menarik balik kenyataannya.

Ismail berulangkali meminta Lim mengemukakan usul jika tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat, namun gagal menenangkan keadaan.

Ia berakhir apabila Ismail mengusir Lim dari Dewan Rakyat.

Juga diarahkan keluar ialah Teo Kok Seong (DAP-Rasah) apabila timbalan speaker mengatakan beliau merakamkan kekecohan itu dengan telefon bimbitnya.

Bercakap kepada pemberita selepas diusir, Lim berkata beliau kecewa dengan keputusan Ismail.

Beliau menegaskan tidak melakukan sebarang kesalahan dan hanya mempertahankan hujah melalui Peraturan Mesyuarat.