Umno-MCA cadang wujud JK tingkat hubungan kaum
Umno dan MCA bercadang membentuk beberapa jawatankuasa kerja kecil untuk meningkatkan aktiviti merapatkan hubungan antara kaum dan menolak sebarang bentuk polarisasi perkauman.
Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata barisan pemimpin muda kedua-dua parti komponen Barisan nasional (BN) itu perlu bekerjasama dalam apa jua bentuk tindakan serta aktiviti dalam merapatkan hubungan antara kaum di negara ini.
Katanya, perjuangan politik berasakan pelbagai kaum perlu dihidupkan dan difahami oleh semua rakyat agar tidak timbul sentimen perkauman yang negatif.
"Sekiranya semua perkara yang berkaitan dengan perkauman difahami maka tidak akan ada sifat ekstrem dan dapat menolak sebarang bentuk polarisasi yang semakin ketara di negara ini," katanya kepada pemberita di ibunegara semalam.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan MCA, Datuk Chai Kim Sen bagi membincangkan beberapa isu berkaitan dengan perpaduan kaum di Wisma MCA di ibunegara.
Annuar berharap anggota parti politik dari setiap peringkat di negara ini dapat menggelakkan daripada mengeluarkan kata-kata dan ungkapan yang boleh menyinggung perasaan dan melebarkan jurang antara kaum.
"Kita akan sentiasa menggalakkan persefahaman antara kaum dan peranan kita sebagai parti politik yang sentiasa bersama-sama membantu rakyat dengan penuh semangat toleransi dan bertanggungjawab," katanya.
- Bernama

