Timbulnya buku bapa 'bukan lelaki, bukan wanita'
Tercetus debat hangat di Internet oleh masyarakat Cina susulan perkongsian meluas buku latihan tambahan Bahasa Mandarin darjah tiga yang memuatkan watak bapa yang “bukan lelaki bukan perempuan”.
Buku terbitan Cemerlang Publication Sdn Bhd itu dikritik mengamalkan diskriminasi gender dan stereotaip jantina dalam buku latihan Pengukuhan Penulisan Bahasa Cina itu.
Karangan itu menceritakan bagaimana bapa kepada seorang pelajar perempuan menjadi perbualan di kalangan rakan-rakan sekolah kerana ayahnya berambut panjang ikat ekor kuda.
Menurut tulisan itu, semasa si ayah menghantar anaknya ke sekolah, rakan sekolah berkata padanya: "Lee Hong (nama murid), saya ingat yang hantar itu mak kamu!".
Ia menyebabkan dia berasa malu dan masuk ke dalam kelas.
Namun di dalam kelas, dia terdengar pula rakan sekelasnya sedang berbincang "Kenapa bapa Lee Hong jadi macam itu, bukan lelaki bukan perempuan!"
Istilah bukan lelaki bukan perempuan atau “ bu nan bu nu ” dalam sebutan Cina biasanya difahami sebagai mak nyah.
Setelah pulang ke rumah dengan sedih, Lee Hong merajuk, menangis dan memberitahu bapanya apa yang berlaku.
"Akhirnya, bapa memotong rambutnya pada malam itu, krisis rambut selesai pada akhirnya," menurut karangan itu.
Ia disertakan ilustrasi menunjukkan rambut bapa itu sudah pendek dan mereka berpelukan gembira.
Karangan itu disediakan untuk latihan mengisi tempat kosong dengan perkataan sesuai.
Cemerlang nafi diskriminasi
Mengulas kritikan di media sosial, penerbit buku Cemerlang Publication Sdn Bhd menafikan karangan itu mendiskriminasi golongan mak nyah.
"Buku latihan ini telah diterbitkan tiga hingga empat tahun dulu, sekarang baru tercetusnya salah faham daripada orang ramai memang di luar jangkaan.
"Setiap orang ada pandangan masing-masing setelah membaca karangan itu, kini kami baru sedar ada orang ingat karangan itu ada unsur diskriminasi," kata seorang editor penerbitan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Hor ketika dihubungi Malaysiakini.
Mempertahankan buku itu, Hor menegaskan karangan itu tidak pun mengatakan bahawa lelaki "tidak patut" atau "tidak boleh" berambut panjang.
Katanya, karangan itu hanya sebuah cereka yang menceritakan krisis kecil, bukan untuk mendiskriminasi sesiapa.
"Sebagai pendidik kami tahu tidak boleh macam ini (diskriminasi), ini hanya satu karangan fiksyen," katanya.
Hor berkata oleh kerana buku latihan tambahan ini sudah lama diterbitkan dan mungkin tidak akan digunakan selepas ini.
Bagaimanapun, jika dicetak semula, beliau berjanji Cemerlang akan membuat pengubahsuaian pada bahagian itu.

