Malaysiakini News

Ahli lembaga pengarah Utusan letak jawatan didesak PM

Azlina Ngainon  |  Published:  |  Modified:

Ketua kumpulan tokoh kenamaan yang menyokong hak rawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar negara meletakkan jawatannya dari Kumpulan Utusan hari ini ekoran desakan dua pemimpin kanan negara, termasuk Perdana Menteri.

Raja Ahmad Aminullah Raja Abdullah, yang menjadi ahli lembaga pengarah kumpulan itu selama 15 tahun, menghantar surat peletakan jawatan kepada pengerusinya Tan Sri Kamarul Arifin, tengahari ini.

Menurut Raja Ahmad, beliau telah diminta melepaskan jawatan atau memohon maaf kepada Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad selepas kejayaan mengumpulkan sokongan 108 tokoh utama agar menyokong memorandum kepada pemimpin negara itu 30 April lalu.

Memorandum tersebut ditandatangani oleh tokoh terkenal negara ini daripada pelbagai latar belakang, termasuk ahli akademik, sasterawan, penulis, artis dan pakar perubatan. Ia menggesa kerajaan menimbangkan semula keputusan menghalang Anwar mendapatkan rawatan sakit tulang belakang di Jerman.

Dalam surat peletakan jawatannya, Raja Ahmad menyebutkan kata dua itu disampaikan oleh Kamarul dalam pertemuan mereka pada petang 14 Mei lalu.

"Tan Sri (Kamarul) menyatakan pada saya bahawa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri amat marah dengan inisiatif surat rayuan (memorandum) yang saya usahakan bersama-sama dengan kawan-kawan," surat itu, bertarikh 4 Jun, dipetik.

Dalam suratnya, Raja Ahmad turut berkata Setiausaha Agung Umno, yang juga Menteri Penerangan, Tan Sri Khalil Yaakob "begitu marah sekali" tindakannya itu.

Kamarul juga memberitahu Raja Ahmad bahawa beberapa tokoh lain yang rapat dengan kerajaan dan Umno juga menyatakan "rasa kesal" terhadap tindakannya itu, menurut surat yang sama.

"Kenapakah tindakan sekecil ini dikatakan mengundang kemarahan YAB (Perdana Menteri) dan 'Sec-gen' (setiausaha agung Umno) sehingga perlu (mereka) menuntut pound of flesh (ketulan daging Raja Ahmad) ala (watak) Shylock dalam karya (seniman) Shakespeare, The Merchant of Venice ," surat itu dipetik.

Surat itu dibacakan dalam satu sidang akhbar di Pusat Bandar Damansara, Kuala Lumpur tengahari tadi dan diedarkan kepada wartawan selepas itu.

"Malah kalau diambil kira kegiatan politik saya, hingga kini saya masih ahli Umno. Sebelum ini saya pernah menolak untuk bertanding sebagai Naib Ketua Bahagian Umno Ipoh Timur," katanya dalam sidang akhbar itu.

Apabila dihubungi malaysiakini petang tadi, pejabat Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu (M) Bhd enggan mengulas lanjut.

Sementara itu Pemuda Parti Keadilan Nasional menjangkakan 200,000 undi akan diperolehi daripada orang ramai dalam pungutan suara yang dilancarkannya minggu lalu.

Pungutan suara itu, dikenali 'Referendum Rakyat Prihatin Misi Kemanusiaan Datuk Seri Anwar Ibrahim', bertujuan mengumpulkan sokongan rakyat terhadap hasrat bekas Timbalan Perdana Menteri itu menerima lawatan di luar negara.

Seseorang yang berusia 21 tahun dan ke atas boleh membuang undi di kaunter-kaunter yang dibuka oleh parti itu di beberapa lokasi strategik di seluruh negara, kata satu kenyataan parti itu kepada malaysiakini .

Pungutan itu akan berjalan sepanjang bulan ini dan akan diumumkan pada pertengahan Julai.

Sign in


Welcome back,

Your subscription expires on
  

Your subscription will expire soon, kindly renew before
  

Your subscription is expired
  Click here to renew

You are not subscribed to any subscription package
  Click here to subscribe now

Any questions?
  Email: [email protected]
  Call: +603-777-00000

Renew