Polis tahan 13 suspek pengganas IS
Polis menahan 13 suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan militan IS selepas menggempur lokasi kumpulan itu bermula semalam.
Operasi dijalankan Bahagian E8 Cawangan Khas Bukit Aman itu turut berjaya merampas dokumen berkaitan IS.
Kejayaan tersebut dikongsi Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui Facebook dan Twitter rasmi beliau.
Sebelum ini, ancaman IS khususnya di rantau ini mendapat perhatian serius oleh kerajaan dan pasukan keselamatan.
Awal bulan ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi mendedahkan usaha oleh kumpulan berkenaan untuk menculik perdana menteri, menteri pertahanan dan beliau sendiri selaku menteri dalam negeri.
Zahid juga memberitahu tentang kejayaan program pemulihan 'deradicalisation' oleh kerajaan apabila 97.5 peratus pengikut IS serta pengikut kumpulan militan lain telah berjaya dipulihkan.
Sementara itu, Khalid berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman berjaya membongkar kegiatan sindiket 'Romance Scam' susulan penahanan lima suspek di Puchong dan Pandan, hari ini.
Kejayaan tersebut sekaligus menyelesaikan 12 kes melibatkan kerugian berjumlah RM120,000.

